Sebutan kes inspektor rogol wanita Mongolia 8 Julai

PETALING JAYA, 2 Jun — Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes pegawai polis berpangkat inspektor yang dituduh atas lapan tuduhan merogol dan satu tuduhan cubaan mencabul dua wanita Mongolia.

Hakim Norshila Kamaruddin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah memaklumkan kepada mahkamah yang pihaknya sedang menunggu arahan dari Jabatan Peguam Negara untuk menggabungkan kesemua kes yang dihadapi tertuduh, Hazrul Hizham Ghazali.

“Pihak kami masih menunggu arahan dari Jabatan Peguam Negara untuk menggabungkan kes ini (cabul dan rogol) serta kes di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dihadapi tertuduh untuk dibicarakan serentak, juga masih ada beberapa dokumen yang masih belum lengkap,” kata Hafizah Zahidah.



Terdahulu, peguam Akmal Jusoh yang mewakili Hazrul Hizham, 30, memberitahu mahkamah yang anak guamnya yang ditahan di Penjara Sungai Buloh tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini susulan seorang banduan bukan warganegara di penjara itu disahkan positif COVID-19.

Pada 30 April lepas, Hazrul Hizham mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan merogol dua wanita Mongolia berusia 20 dan 36 tahun dengan menggunakan kedudukan kuasanya sebagai pegawai polis untuk mendapatkan kerelaan kedua-dua mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bilik hotel berbeza di PJ Luxe Boutique Hotel, di sini, antara 12.30 malam hingga 11 pagi, pada 11 April lepas mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan cubaan cabul, lelaki itu dituduh telah menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa pertama dengan niat untuk mencabul kehormatannya di khemah petugas sekatan jalan raya Plaza Tol NPE, PJS2, di sini, antara 5.30 petang dan 6.15 petang, 10 April mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.



Pada 29 April lepas, tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan memperdagangkan kedua-dua wanita itu bagi maksud eksploitasi seks di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button