Eyka makin popular di Indonesia
KUALA LUMPUR: Bagaikan bulan jatuh ke riba apabila pelakon kecil molek, Eyka Farhana diberi peluang melebarkan sayap perjuangan ke negara seberang.
Seperti doa yang termakbul, Eyka atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 25, bersyukur kali pertama disunting syarikat produksi luar.
“Saya menerima mesej langsung dari produksi seberang yang menawarkan menghadiri uji bakat untuk adaptasi drama Hollywood, Pretty Little Liars (PLL) versi Indonesia. Alhamdulillah, saya melepasi ujian dan menjalankan penggambaran di Bali, Indonesia, Ogos tahun lalu.
“Saya anggap ia seperti doa yang terjawab. Sebelum ini, saya memang berhajat mahu mencuba nasib berlakon ke seberang. Secara kebetulan, saya ditawarkan membintangi drama PLL,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Eyka berkata, cabarannya adalah menguasai bahasa Indonesia dalam masa yang singkat.
“Saya diberitahu perlu berbahasa Indonesia. Selepas membaca skrip, saya lihat terlalu banyak bahasa Indonesia yang perlu dikuasai dalam masa singkat kerana mereka mahukan menghidupkan watak pelajar Indonesia.
“Namun, selepas berbincang, mereka mengubah watak saya sebagai seorang pelajar Malaysia yang menetap di Indonesia. Jadi, tidaklah dialek saya kedengaran terlalu pelik dalam drama,” katanya.
Eyka berkata, dia dapat menyesuaikan diri dengan mudah apabila bekerjasama dengan pengarah dan barisan pelakon yang banyak membantu.
“Tiga hari pertama, saya melalui latihan membaca skrip terlebih dahulu. Dari situ, saya dan pelakon lain dapat mencari keserasian. Saya tidak berdepan masalah, mereka memberikan kerjasama baik.
“Barisan pelakon Indonesia sangat terbuka dan tidak kedekut ilmu. Saya selesa walaupun ini kali pertama saya membintangi drama seberang,” katanya.
Pelakon filem Polis Evo itu berkata, cara produksi seberang bekerja tidak banyak beza, cuma persekitaran sahaja yang berlainan.
Bagi mendapatkan lebih penghayatan, Eyka berkata, dia menonton versi asal PLL terlebih dahulu. Drama bersiri berkenaan mempunyai kekuatan tersendiri sehingga berjaya di Hollywood.
“Sebelum ini, saya tak pernah tengok, tetapi disebabkan membintangi drama ini, saya tengok untuk mendapatkan inspirasi. Bagaimanapun, saya tidak meniru watak Emily secara keseluruhannya.
“Watak Ema yang dibawakan tidak sama 100 peratus dengan versi asal, jadi saya bawa mengikut cara tersendiri, cuma saya kena pastikan tidak lari daripada jalan cerita asal.
“Maklum balas positif membuatkan saya lebih bersemangat untuk mencuba nasib di Indonesia. Saya pastinya tidak akan menolak sekiranya ditawarkan membintangi drama musim kedua,” katanya pelakon mula dikenali menerusi filem Juvana 2 dan 3.
PLL mengisahkan empat pelajar membentuk satu kumpulan geng. Selepas ketuanya menghilang, hubungan mereka mula goyah. Namun, kembali bersatu ketika dalam menghadapi bahaya. Mereka mulai menerima pesanan individu misteri yang mengancam akan membocorkan rahsia.
Diarahkan oleh Emil Heradi, PLL dibintangi Yuki Kato, Anya Geraldine, Valerie Thomas, Shindy Huang, Tarra Budiman, Wulan Guritno, Irgi Fahrezi, Jennifer Coppen dan Marcell Darwin. Drama ini mula ditayangkan dalam platform penstriman, Viu mulai 22 April lalu.