Polis Johor tumpu individu bersekongkol Dengan Sindiket Jenayah Komersil

JOHOR BAHRU, 3 Jun– Polis Johor sedang menumpukan usaha untuk mengenakan tindakan terhadap individu yang bersekongkol dengan sindiket jenayah komersil, terutamanya penipuan Macau Scam, pinjaman tindak wujud, jual beli dalam talian (e-dagang) serta pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu terbabit merupakan pemilik akaun bank yang bekerjasama dengan sindiket penipuan, di mana mereka dibayar wang atau komisen atas setiap akaun bank yang dibuka, bagi menjalankan penipuan.

Menurut Ayob Khan, sebelum ini pihaknya menumpukan usaha mengenakan tindakan terhadap sindiket penipuan berbanding individu yang bersekongkol.

“Bagi membendung peningkatan kes jenayah komersil, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor telah melancarkan ‘Ops Mule’, di mana fokus utama adalah terhadap pemilik akaun yang bekerjasama dengan sindiket bagi mendapatkan sejumlah bayaran atau komisen atas setiap akaun bank yang dibuka.



“Pemilik akaun ini akan menyerahkan kad ATM dan butiran akaun termasuk kata laluan perbankan internet, kepada sindiket melalui komunikasi laman sosial, mesej serta panggilan telefon,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, majoriti individu yang didapati bersekongkol itu adalah golongan gelandangan, yang memperoleh upah secara sekali bayaran (one-off), antara RM100 dan RM200 atas akaun dibuka, selain golongan penagih dadah serta penganggur.

Menurut beliau, JSJK Johor melancarkan dua siri ‘Ops Mule’ pada 6 Jan hingga 7 Mac lepas dan 24 April hingga 31 Mei lepas, di mana berjaya menahan seramai 440 pemilik akaun dengan 350 daripadanya sudah dituduh di mahkamah.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 420, 424, dan 411 Kanun Keseksaan, katanya.



“Kes jenayah komersil ini banyak berlaku setiap hari, dengan mangsa antaranya membabitkan pesara kerajaan dan guru yang rata-ratanya mengalami kerugian antara RM100,000 dan RM150,000.

“Walaupun kita (polis) sudah memberi nasihat, namun masih ada lagi yang terpengaruh dengan jenayah ini, justeru, kita minta masyarakat supaya peka dan tidak bersikap tamak,” katanya dengan menambah jumlah kerugian mangsa penipuan yang terkumpul setakat ini dianggar sebanyak RM17.117 juta.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker