KHM sambut baik keputusan FIH tambah kuota kelayakan Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 3 Jun — Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyambut baik pengumuman Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang menambah kuota kelayakan automatik ke Piala Dunia 2022/23 menerusi kejohanan-kejohanan benua.

Timbalan Presiden KHM, Prof Datuk Dr S. Shamala berkata FIH telah mengambil langkah yang cukup baik dengan mempertimbangkan implikasi pandemik COVID-19 kepada semua negara kerana proses kelayakan itu penting untuk menjamin tiket ke Piala Dunia.

Beliau berkata keputusan itu bakal menyaksikan Kejohanan Piala Asia, yang dijangka berlangsung pada 2021, tidak hanya menjadi perlawanan bagi merebut piala itu tetapi ia turut menjadi medan bagi pasukan-pasukan di Asia merebut tempat lebih awal ke Piala Dunia.

“Pengumuman itu adalah sesuatu yang cukup baik kerana kami perlu mengambil kira sekiranya terdapat cabang lain yang dibuka oleh FIH untuk kelayakan, persiapan pasukan untuk berdepan dengan pelbagai pasukan adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan.



“Apabila penambahan slot diumumkan, kini kami boleh merangka persiapan dengan terperinci bagi menghadapi pasukan-pasukan dari Asia berbanding dengan kami tidak mengetahui pasukan mana yang perlu ditentang.

“Memandangkan impak COVID-19 turut memberikan kesan kepada keupayaan pasukan untuk menjelajah ke negara lain bagi melakukan persiapan, kini kami boleh memberikan fokus untuk berhadapan dengan pasukan-pasukan dari Asia dan ia merupakan sesuatu yang cukup baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

FIH semalam mengumumkan bahawa pasukan di benua Asia menerima tiga slot untuk Piala Dunia lelaki 2023, termasuk slot bagi tuan rumah India, manakala dua slot diperuntukkan bagi kategori wanita pada 2022, yang akan diadakan di Sepanyol dan Belanda.

Sebelum ini, hanya enam slot masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita (lima juara benua dan satu tuan rumah) diberikan laluan automatik untuk beraksi di Piala Dunia, manakala baki slot perlu direbut menerusi Liga Hoki Dunia.



Namun, pandemik COVID-19 dan penangguhan Olimpik Tokyo kepada Julai 2021, menyaksikan FIH mengumumkan format kelayakan baharu, iaitu lima juara kejohanan benua 2021 bersama lima lagi negara yang berada di kedudukan teratas kejohanan itu, layak untuk mendapat slot automatik bersama tuan rumah bagi Piala Dunia 2022/2023.

Baki lima slot untuk melengkapkan 16 pasukan yang akan beraksi di pentas Piala Dunia 2022/2023 akan ditentukan menerusi aksi kelayakan yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2022.

Pada Piala Dunia lelaki 2018 di India, Malaysia tersingkir seawal pusingan kumpulan selepas tewas dalam dua perlawanan dan seri sekali, manakala skuad wanita tidak pernah beraksi di pentas tertinggi sejak Piala Dunia Wanita diperkenalkan pada 1974.

 

Berikut adalah peruntukan slot mengikut benua:

 

Kategori Wanita:

Afrika – 1 slot (Juara Kejohanan Kontinental 2021)

Asia – 2 slot

Eropah – 4 slot (Termasuk tuan rumah bagi Piala Dunia Wanita 2022 iaitu Belanda dan Sepanyol)

Oceania – 2 slot

Pan Amerika – 2 slot

 

Kategori Lelaki:

Afrika – 1 slot (Juara Kejohanan Kontinental 2021)

Asia – 3 slot (Termasuk tuan rumah bagi Piala Dunia Lelaki 2023 iaitu India)

Eropah – 4 slot

Oceania – 2 slot

Pan Amerika – 1 slot (Juara Kejohanan Kontinental 2021)

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker