SAM harap khabar positif daripada Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menaruh harapan agar terdapat khabar positif buat pengamal sukan dan industri sukan negara dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang bakal diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok.

Presidennya, Jasni Shafie dalam kenyataan hari ini berkata pelan yang akan dilaksanakan itu diharap dapat memberikan juga tumpuan terhadap usaha membantu memulihkan industri media di negara ini.

Menurut beliau, media termasuk yang terlibat dengan sukan antara yang terjejas ekoran pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.



“SAM sebelum ini pernah mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan bantuan khas berupa dana kepada pengamal media di negara ini yang turut terkesan dari segi ekonomi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 18 Mac lalu.

Tujuan peruntukan dana yang dicadangkan ini diharap dapat memberi suntikan baharu dan sekali gus menyelamatkan industri media yang dilihat semakin tenat selepas berdepan impak dibawa oleh pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata sebahagian daripada pengamal media yang bekerja bukan sebagai kakitangan tetap, sebaliknya sebagai ‘pemberita sambilan’ yang terkesan kerana bayaran upah dibayar berdasarkan kerja harian atau tugasan, namun tidak dapat dilaksanakan sepanjang PKP.

Katanya terdapat beberapa negara antaranya Romania menyalurkan peruntukan khas untuk membantu media di negara itu yang terkesan akibat COVID-19.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button