59 keldai akaun ditahan, kerugian hampir RM2 juta

Datuk Roslee Chik, Ketua Polis Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 Jun — Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu menahan seramai 59 individu kerana disyaki menjadi keldai akaun atau ‘mule account’, selepas akaun mereka didapati terlibat dalam kes jenayah siber melibatkan kerugian hampir RM2 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata semua individu berusia antara 20-an hingga 50-an itu ditahan dalam Operasi Khas ‘Mule Account’ yang dijalankan sejak 25 April hingga 31 Mei lepas.

“Tangkapan 59 individu tempatan ini dilakukan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak serta mereka telah dibawa ke Terengganu dan seramai 56 orang telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media Op Mule Account Siri 2/2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.

Roslee berkata keldai akaun merupakan akaun milik individu yang telah disalah guna oleh sindiket atau ‘scammer’ bagi menjalankan sebarang transaksi tanpa atau diketahui oleh pemilik.

Katanya kebanyakan dalang kegiatan jenayah siber ini adalah warga asing yang memerlukan individu tempatan sebagai ‘orang tengah’ bagi mendapatkan akaun untuk melakukan transaksi pemindahan wang melalui akaun.

“Kebanyakan pemilik akaun (keldai akaun) ini terpedaya dengan sindiket pembelian kad mesin juruwang automatik (ATM) bersama nombor pin yang dibeli dengan harga RM200 hingga RM300 oleh ‘runner’ atau orang tengah.

Selepas itu, akaun tersebut pula akan dijual dengan harga RM1,000 hingga RM1,500 kepada sindiket Macau Scam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Roslee berkata kes penipuan siber dan multimedia seperti ‘Macau Scam’, ‘Love Scam’ dan e-dagang di negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak 190 peratus atau 297 kes dari Januari hingga Mei tahun ini, berbanding hanya 96 bagi tempoh sama tahun lepas.

Selain itu kes penipuan pinjaman tidak wujud di negeri ini juga mencatatkan peningkatan 158 peratus atau 366 kes dari Januari hingga Mei tahun ini, berbanding hanya 142 kes dari Januari hingga Disember tahun lepas.

“Peningkatan ini berlaku apabila pengguna tidak dapat keluar ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banyak melakukan pembelian secara dalam talian serta terpedaya dengan iklan yang ditawarkan melalui internet,” katanya.

Sementara itu Roslee berkata pihaknya menerima kira-kira 500 hingga 700 permohonan perjalanan rentas negeri setiap hari.

“Antara alasan yang paling ‘glamor’ mereka gunakan adalah untuk balik ke rumah isteri kedua atau isteri ketiga. Ada kes mereka ini mempunyai isteri-isteri di negeri lain seperti Johor dan sebagainya, jadi saya bagi pelepasan atas sebab tanggungjawab sosial,” katanya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebanyak 65,845 kenderaan yang ingin memasuki negeri ini telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 297 kenderaan telah diarahkan berpatah balik manakala 33 kompaun telah dikeluarkan.

Leave a Reply