Geng Pendang tumpas

KEPALA BATAS: Polis menumpaskan kegiatan pecah rumah sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas menahan lima lelaki tempatan, termasuk seorang pemilik kedai emas dalam mengadakan serbuan menerusi Op Pintu pada Sabtu dan Ahad lalu.

Serbuan dilancarkan selepas polis menerima laporan daripada beberapa mangsa berhubung kegiatan pecah rumah sejak awal tahun ini.

Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata melalui maklumat diterima, polis kemudian mengadakan beberapa serbuan di Kedah dan menahan empat lelaki berusia lingkungan 29 hingga 39 tahun dikenali ‘Geng Pendang’.

“Seorang suspek ditahan di Pendang, seorang di Sungai Petani, manakala dua lagi di Alor Setar. Hasil siasatan ke atas keempat-empat suspek, keesokannya membawa kepada satu lagi serbuan di Alor Setar yang mana polis menahan seorang lagi suspek berusia 52 tahun.



“Lelaki 52 tahun itu pemilik kedai emas dan dia mengaku membeli dan meleburkan barangan kemas yang dijual keempat-empat suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, di sini hari ini.

Jelasnya, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan, antaranya beg tangan berjenama, wang tunai, telefon bimbit, peralatan pecah rumah dan kereta sewa jenis Perodua Bezza yang digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

“Semakan ke atas semua suspek mendapati mereka mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan dadah. Dengan penahanan kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di daerah ini,” katanya.

Mohd Radzi berkata, kesemua suspek direman bermula Ahad lalu hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker