Anak ‘bocor rahsia’ bapa ada pistol

Oleh – Syeikh Baran


Anak ‘bocor rahsia’ bapa ada pistol
Polis IPD Ampang Jaya merampas objek menyerupai pistol susulan penahanan seorang lelaki di Persiaran Saujana Ampang, Ampang Saujana kelmarin.

Seorang lelaki ditahan di sebuah rumah di Persiaran Saujana Ampang, Ampang Saujana di sini, bagi membantu siasatan polis berhubung kes memiliki objek menyerupai pistol serta ugutan jenayah pada kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pada mulanya isteri lelaki tersebut menghubungi pihak polis bagi memohon bantuan berkenaan suaminya.

“Suami wanita itu mengetuk pintu rumah dan menjerit dengan kuat supaya membuka pintu kira-kira pukul 1 pagi kelmarin. Bagaimanapun, dia enggan buka kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.

“Ini kerana suami pengadu mengamuk ekoran wanita tersebut tidak memberikan wang untuk membeli dadah.

“Semasa menunggu polis, anak memaklumkan bahawa pernah nampak ada sepucuk objek menyerupai pistol (pistol angin) warna hitam berada di bawah bahagian meja solek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Azam berkata, berikutan itu, suspek tersebut direman tujuh hari sehingga 14 April ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun keseksaan dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

“Seksyen 506 Kanun Keseksaan merujuk kepada kesalahan membuat ugutan jenayah, manakala Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 merujuk kepada kesalahan memiliki dan mengimport senjata tiruan

“Seksyen 506 Kanun Keseksaan hendaklah diseksa dengan penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya,” katanya.

Ujarnya, Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 pula hendaklah dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau dengan denda tidak melebihi RM5,000 lima atau kedua-duanya sekali.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker