Kerajaan Baharu: Kita Bukan Masuk Melalui Pintu Belakang, Yang Sebenarnya Rumah Sudah Runtuh – Shahril
PEKAN, 12 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata jentera parti perlu bersedia menangkis segala yang dicanang oleh pihak lawan jika berlaku pertandingan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini termasuklah soal kerajaan yang terbentuk hari ini.
Dengan menyifatkan apa yang berlaku hari ini merupakan satu kejutan, Shahril menegaskan bahawa tidak wujud istilah pintu belakang dan sebagainya lagi.
“Kita ingat apabila kita kalah sebelum ini kena tunggulah empat lima tahun tetapi kuasa Allah, mereka yang bergolak, mereka yang bergaduh, mereka yang tidak tunai janji sehingga kalah lima PRK berturut-turut, dipendekkan cerita mereka gaduh sesama sendiri dan rumah pun runtuh… kita masuk untuk menyelamatkan keadaan.
“Kita kena ingat… jika berlaku pertandingan pada PRK ini nanti dan pada sesi kempen kelak mungkin akan ada yang mengatakan UMNO masuk kerajaan pintu belakang. Ianya tidak ada sentimen atau tidak ada istilah pintu belakang… sebab apa… rumah sudah runtuh… bukan kita yang datang masuk melalui pintu belakang dan halau orang keluar… tidak. Yang meletakkan jawatan ‘dia’, yang tidak tunaikan janji kepada ‘kawan’ sebelah itu ‘dia’, yang bergaduh sesama sendiri sebab tidak puas hati dengan seseorang di dalam bilik itu… satu parti roket itu ‘mereka’… bukan kita.
“Kita marah… marahlah tetapi kita kat luar rumah… bukan kita boleh kacau dalam rumah. Kita tunggu pilihan raya dan kita ingat tunggu PRU-15 kita nak masuk balik rumah tersebut tetapi mereka yang keluar sendiri. Dan kuasa serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mengatakan tidak bubar parlimen sebab ada kelompok yang mempunyai majoriti boleh memasuki rumah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama jentera di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Salong.
Selain Salong, Shahril turut mengadakan perjumpaan yang sama dengan jentera di beberapa PDM lain dalam program turun padang bersama jentera parti.
“Jika ada yang mempertikaikan soal tersebut, itulah mesejnya dan percaya ada yang akan mempertikaikannya dan ini bukan soal rampas kuasa tetapi ini soal mereka keluar rumah dan UMNO yang masuk untuk menyelamatkan keadaan demi negara dan rakyat,” ujarnya.
Terangnya, pada waktu itu juga perancangan Allah sebaiknya setelah ketiadaan pilihan raya apabila seluruh dunia termasuk negara dilanda wabak COVID-19.
“Rasa-rasanya jika ada pilihan raya dalam masa dua tiga bulan lepas elok atau tidak dalam keadaan kesihatan dalam negara? Sudah tentu tidak… saya rasa ia ada hikmah yang kita tidak nampak pada waktu itu,” ujarnya.
Shahril seterusnya menambah di PRK Chini jika berlaku pertandingan kelak ianya adalah dalam suasana normal baharu dan pihaknya sudah meneliti serta akan melihat kepada SOP yang akan ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Datang PRK Chini dalam keadaan COVID-19 tidak lagi selesai. Jadi kita kena bincang kaedah terbaik dalam melaksanakan operasi kempen kita dalam normal baharu. Kita tidak boleh ceramah ramai-ramai. Esok jika ada kempen 14 hari pun kita tengah tunggu SOP daripada SPR tetapi kita kena bersedia.
“Normal baharu kita kena fikirkan cara untuk menyampaikan maklumat dan sebagainya. Apa pun kita kena bersedia apa sahaja kemungkinan. Kita akan dapatkan gambaran dalam masa terdekat apa yang sesuai dan apa yang tidak sesuai,” tambahnya lagi.- UMNO Online