Mahu bolot semua Grand Slam

Oleh – Syeikh Baran


Mahu bolot semua Grand Slam
SABALENKA berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia dimenangi musim lalu selepas menewaskan Qinwen di pentas final kelmarin. – AFP

Pemain tenis No. 2 dunia, Aryna Sabalenka meraih gelaran Grand Slam kedua dalam kariernya selepas muncul juara pada kejohanan Terbuka Australia yang berlangsung di Melbourne Park.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung kelmarin, bintang Belarus itu tidak berdepan aksi sukar apabila mudah menewaskan bintang China, Zheng Qinwen menerusi keputusan straight-set 6-3, 6-2.

Sebaik merangkul gelaran Grand Slam kedua itu, Sabalenka meluahkan rasa lega kerana mampu mempertahankan kejuaraan selain menganggap kemenangan yang diraih musim lalu bukan nasib ­semata-mata.



“Saya sentiasa memasang hasrat untuk tidak menjadi seorang pemain yang ‘hilang’ secara tiba-tiba sebaik sahaja memenangi kejuaraan pada kejohanan utama. Saya mahu buktikan bahawa saya mampu menang secara konsisten.

“Sudah tentu perasaan saya ketika ini adalah untuk menang lebih daripada dua kejuaraan utama. Apa yang penting sekarang adalah saya perlu bekerja lebih keras untuk merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.

Kemenangan itu nyata membakar semangat Sabalenka untuk memburu le­bih banyak kejuaraan Grand Slam, terma­suk Terbuka Perancis dan Wimbledon yang dijadualkan berlangsung pertengahan tahun ini.

“Secara jujur, saya mahu memenangi kesemua gelaran Grand Slam. Sekiranya saya dapat kekalkan rentak sedia ada, sudah tentu saya mampu untuk bermain di atas gelanggang tanah liat (Terbuka Perancis) dan rumput (Wimbledon),” ujarnya. – AGENSI



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker