COVID-19: Singapura beralih ke fasa dua pembukaan semula mulai 19 Jun

SINGAPURA, 15 Jun — Singapura membuat keputusan untuk memulakan Fasa Dua pembukaan semula dari 19 Jun setelah kadar jangkitan masyarakat kekal stabil walaupun terdapat peningkatan dalam aktiviti di tempat kerja pada Fasa Satu.

Keputusan untuk menamatkan Fasa Satu yang bermula pada 2 Jun lepas turut mengambil kira jumlah kes di asrama pekerja asing yang berkurangan dan tiada kewujudan kluster baharu yang besar.

“Dalam Fasa Satu, banyak operasi ditutup dan kami hanya membenarkan beberapa aktiviti dibuka semula bagi menguruskan risiko. Fasa Dua ini berbeza,” kata Menteri Pembangunan Negara republik itu, Lawrence Wong.

“Ketetapan kali ini adalah lebih banyak aktiviti yang akan dibuka dan beroperasi semula. Hanya satu pengecualian kecil akan ditetapkan kemudian,” kata Wong yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Pelbagai Kementerian pada sidang akhbar maya di sini hari ini.



Selain pengecualian kecil, Fasa Dua akan melihat pembukaan semula kebanyakan aktiviti sambil mengekalkan prinsip jarak selamat termasuk membenarkan perhimpunan sosial kumpulan kecil sehingga lima orang.

Dalam Fasa Dua, perniagaan runcit boleh membuka semula premis fizikal mereka dan makan di kedai makanan dan minuman (F&B) juga turut dibenarkan.

Bagaimanapun, persembahan muzik secara langsung serta tayangan televisyen dan video tidak dibenarkan di semua premis F&B, manakala kemudahan sukan, taman dan kemudahan awam lain akan dibenarkan dibuka.

Walaupun sebahagian besar aktiviti dibenarkan bersambung semula pada Fasa Dua, pembukaan semula sebilangan kecil aktiviti akan memakan masa seperti perkhidmatan dan perhimpunan keagamaan, venue kebudayaan yang besar seperti perpustakaan dan muzium, serta acara besar seperti persidangan, pameran, konsert dan pameran perdagangan.



Tiada lampu hijau lagi bagi pembukaan semula tempat-tempat hiburan seperti bar, kelab malam, pusat karaoke, panggung wayang dan tempat tarikan lain.

Selain prinsip pengurusan selamat, peraturan khusus akan dikenakan ke atas acara dan tetapan seperti perkahwinan, kematian, tempat kerja dan sekolah serta institut pengajian tinggi.

Peraturan itu termasuk memberi kelonggaran tambahan dengan membenarkan pernikahan dilakukan di rumah, pejabat Pendaftar Perkahwinan (ROM) atau Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) dihadiri sehingga 10 orang tidak termasuk kadi.

Perkahwinan di tempat lain pula, dibenarkan dihadiri sehingga 20 orang tidak termasuk kadi, tertakluk kepada had yang ditetapkan di tempat berkenaan berdasarkan kepada prinsip pengurusan selamat.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker