Keluar UPKO demi rakyat perlukan pembangunan kerajaan pusat – James Ratib

KOTA KINABALU, 15 Jun — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut menegaskan pendiriannya meninggalkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) adalah disebabkan rakyat Sabah masih memerlukan pembelaan dan pembangunan daripada kerajaan pusat.

Beliau berkata tuduhan kononnya tindakan keluar UPKO adalah kerana kepentingan peribadi kerana mendapat manfaat daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar adalah tidak benar dan andaian yang tidak berasas.

“Kini kerajaan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak lagi sehaluan dengan kerajaan pusat sehingga menyebabkan rakyat Sabah sukar mendapat manfaat projek pembangunan daripada kerajaan persekutuan.

“Oleh itu adalah wajar tindakan saya bersama ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury meninggalkan UPKO dan menyokong Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan rakyat,” katanya.



Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob yang mendakwa tindakan mereka keluar parti hanya kerana kepentingan peribadi kerana mendapat manfaat projek kerajaan persekutuan.

James berkata dakwaan kononnya mereka mendapat tekanan daripada kerajaan pusat sehingga meninggalkan UPKO yang telah bersama Warisan membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lepas adalah tidak benar sama sekali.

“Jelas bahawa kami meninggalkan UPKO kerana kerajaan Sabah tidak lagi sehaluan dengan kerajaan persekutuan… dan kami mahu rakyat dapat pembelaan daripada kerajaan persekutuan.

“Saya yakin kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membawa perubahan landskap politik negara dan Sabah,” katanya.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button