Lima individu ditahan tawar khidmat seks, urut


KUALA LUMPUR, 15 Jun — Tindakan seorang lelaki memuat naik gambar wanita serta nombor telefon yang menawarkan iklan khidmat urut dipercayai tanpa lesen, akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan bersama empat wanita warga asing, dalam serbuan di sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek lelaki berusia 44 tahun yang merupakan pekerja premis berkenaan ditahan berhampiran kawasan premis urut itu ketika serbuan dilakukan pada 8 malam.

“Hasil penahanan, polis menemukan beberapa keping gambar wanita berserta nombor telefon untuk dihubungi pelanggan di dalam telefon bimbitnya.

“Setelah soal siasat dilakukan, polis kemudian menyerbu pusat urut itu dan berjaya menahan empat wanita warga asing berumur lingkungan 31 hingga 41 tahun, dipercayai bekerja sebagai tukang urut selain turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Pemeriksaan lanjut di premis itu menemukan pelbagai peralatan disyaki digunakan bagi tujuan mengurut dan suspek lelaki itu gagal menunjukkan sebarang lesen urut yang sah apabila diminta berbuat demikian.

Hasil semakan juga mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1963, 55B Imigresen 1959/63 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Suspek lelaki itu direman dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan, sementara empat wanita warga asing itu direman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button