Teksi: Perbaharui kad pemandu tamat tempoh untuk bantuan one-off


KUALA LUMPUR, 15 Jun — Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menasihatkan para pemandu teksi yang belum memperbaharui kad pemandu yang telah tamat tempoh sah laku, agar berbuat demikian bagi memudahkan penyaluran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) One-off sebanyak RM600.

Agensi itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan para pemandu teksi berkenaan perlu memperbaharui kad pemandu mereka selewat-lewatnya 1 Julai ini dengan perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh APAD.

“Seramai 8,743 pemandu telah memperbaharui kad pemandu mereka setakat 14 Jun lepas manakala anggaran 30,000 pemandu lagi masih belum berbuat demikian sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Pada 23 Mei lepas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata pihaknya sedang menimbangkan inisiatif bagi membolehkan kesemua pemandu teksi yang tidak layak sebelum ini, agar turut mendapat bantuan itu dengan syarat segera memperbaharui kad pemandu mereka.



Menurut kenyataan itu, menjadi tanggungjawab pengendali dan pemandu memastikan kad pemandu kekal aktif serta dipamerkan semasa beroperasi seperti dinyatakan dalam Pekeliling SPAD Bilangan 4 Tahun 2013 yang menggariskan keperluan tersebut seperti yang telah ditetapkan oleh APAD.

Bantuan Prihatin itu diberikan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan pada 27 Feb lepas dengan 29,447 pemandu teksi yang memiliki kad pemandu aktif telah diberi bayaran melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula 2 April.

Sementara itu bagi pemandu yang layak tetapi masih belum menerima bantuan itu, mereka boleh hadir ke mana-mana cawangan BSN bagi penerimaan secara tunai, manakala pemandu yang tidak layak sebelum ini tetapi sudah memperbaharui kad pemandu mereka, mekanisme dan proses bayaran akan dimaklumkan selepas 1 Julai.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker