Dua individu kerugian ditipu sindiket pinjaman tidak wujud, jual beli duit lama


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor

KEPALA BATAS, 20 Jun — Dua individu mengalami kerugian dengan jumlah keseluruhan RM32,491 selepas masing-masing ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud dan sindiket jual beli duit lama di daerah Seberang Perai Utara (SPU), semalam.

Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian membabitkan sindiket pinjaman wang tidak wujud, seorang nelayan berusia 49 tahun kerugian RM31,111 selepas lelaki itu tertarik dengan iklan pinjaman wang berjumlah RM100,000 oleh sebuah syarikat berlesen di Google sebelum diminta untuk membuat beberapa bayaran pemprosesan.

“Mangsa dikatakan telah membuat bayaran RM31,111 ke dalam tujuh akaun bank untuk tujuan proses bagi mendapatkan wang pinjaman itu. Mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas agen berkenaan menghubunginya dan meminta dia membuat bayaran tambahan sebelum membuat semakan dengan polis dan mendapati dia telah ditipu scammer,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, Noorzainy berkata seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun kerugian RM1,380 selepas ditipu sindiket jual beli duit lama yang mendakwa mahu membeli duit lamanya selepas terlihat iklan pembelian duit lama menerusi laman Instagram.

Beliau berkata remaja itu kemudiannya menghubungi pembeli secara dalam talian sebelum diminta untuk membuat pembayaran terlebih dahulu bagi mendapatkan keuntungan dalam mata wang dolar Amerika.

“Mangsa kemudian masukkan wang bayaran itu secara berperingkat sebanyak empat kali berjumlah RM1,380 ke dalam satu akaun bank, bagaimanapun suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan. Mangsa menyedari dia ditipu sindiket selepas membuat semakan dengan pihak polis dan kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian atau membuat sebarang transaksi dengan pihak tidak dikenali dengan membuat semakan dengan pihak polis terlebih dahulu.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker