Lelaki miliki dua laras senapang buatan sendiri di rumah panjang ditahan


SIBU, 20 Jun — Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan malam tadi kerana memiliki dua laras senapang buatan sendiri di sebuah rumah panjang di Kilometer 25.7 Jalan Oya di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Collin Babat berkata lelaki itu ditahan pada kira-kira 11.45 malam selepas selaras senapang patah bakakuk dan selaras senapang angin serta 21 guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru ditemukan di bilik yang dihuninya di rumah panjang tersebut.

“Senapang patah serta senapang angin yang dirampas itu tidak mempunyai nombor siri dan akan dihantar kepada pihak persenjataan untuk mendapatkan ujian kebolehkhidmatan. Suspek juga tidak mempunyai lesen senjata dan permit senjata yang sah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan latar belakang suspek, yang juga seorang duda dan tidak mempunyai pekerjaan, mendapati dia tidak memiliki rekod jenayah namun siasatan masih diteruskan.



“Suspek kini masih di bawah tahanan polis dan permohonan bagi meremannya akan dibuat esok untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker