Korea Selatan, AS aktifkan latihan udara susulan ancaman

SEOUL: Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan latihan udara bersama sebagai tindak balas kepada ancaman dari Korea Utara, sekali gus mencetuskan kemarahan dari Pyongyang.

Menurut agensi berita Yonhap, latihan itu turut membabitkan pengebom strategik AS dan pesawat pejuang berteknologi tinggi.

Berdasarkan laporan Yonhap, latihan terbaharu itu membabitkan pengebom strategik B-1B dan pesawat pejuang ‘stealth’ F-22 dan F-35B dari Tentera Udara AS dan pesawat pejuang F-35A dari tentera Korea Selatan.

Memetik maklumat tentera Korea Selatan, menurut Yonhap, pesawat itu terbang di atas Laut Kuning, yang terletak di antara China dan semenanjung Korea, semalam, dalam latihan pertama seumpama itu tahun ini.

“Gabungan latihan udara kali ini menunjukkan semangat dan keupayaan AS untuk menyediakan langkah pencegahan lebih ke depan yang kukuh serta boleh dipercayai terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara,” Yonhap memetik laporan Kementerian Pertahanan.

Latihan udara itu dikuatkuasakan sehari selepas Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, dan rakan sejawatnya dari Korea Selatan menyuarakan berhubung peningkatan dalam latihan sedemikian selain lebih banyak kerjasama keselamatan akan dilaksanakan antara kedua-dua sekutu terbabit.

Tindakan itu dibuat ketika AS dan Korea Selatan menganggap berlakunya peningkatan ancaman peluru berpandu dan nuklear dari Pyongyang.

Pada masa sama, menurut agensi itu, kaedah pencegahan terbabit merujuk kepada komitmen AS untuk menggunakan rangkaian penuh aset ketenteraan, termasuk senjata nuklear, untuk mempertahankan Korea Selatan.

Sementara itu, agensi berita negara KCNA melaporkan, jurucakap Kementerian Luar Korea Utara memberi maklum balas terhadap latihan berkenaan dengan menyatakan AS bakal mencetuskan pertarungan habis-habisan terhadap Pyongyang.

Seoul berhasrat meyakinkan orang ramai mengenai komitmen pertahanan AS yang teguh, selepas setahun Korea Utara mengisytiharkan dirinya sebagai kuasa nuklear yang mantap dan menjalankan ujian senjata terlarang hampir setiap bulan.

Austin dan Menteri Pertahanan Korea Selatan, Lee Jong-sup, melalui kenyataan bersama, bersetuju untuk memperluaskan dan meningkatkan tahap serta skala latihan ketenteraan bersama, susulan provokasi berterusan dari Pyongyang, termasuk pencerobohan dron baru-baru ini.

KCNA memetik jurucakap Kementerian Luar dengan menyifatkan ikrar Austin sebagai suatu ungkapan jelas menggambarkan senario berbahaya AS yang akan mengakibatkan semenanjung Korea menjadi senjata perang yang besar dan zon perang yang lebih kritikal.

Ketegangan ketenteraan di semenanjung Korea meningkat secara mendadak sejak tahun lalu apabila Korea Utara melakukan ujian senjata yang memecahkan rekod, termasuk menembak peluru berpandu balistik antara benua, yang paling canggih.

Sebarang latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan menimbulkan kemarahan Pyongyang, yang menganggapnya sebagai latihan untuk pencerobohan dan sering bertindak balas dengan ancaman dan latihannya sendiri.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker