Mayat warga emas ditemukan separuh badan tertimbus tanah, disyaki dibunuh

KUALA LUMPUR, 23 Jun — Seorang lelaki warga emas ditemukan mati dalam keadaan tertiarap dengan separuh badan tertimbus tanah, disyaki dibunuh, berhampiran sebuah kolam tadahan hujan milik Jabatan Pengairan dan Saliran di Jalan UP 3/1 Ukay Perdana, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Mohd Azam Ismail berkata rentetan penemuan pada 1.30 tengah hari itu, polis menahan seorang kontraktor berusia 56 tahun dan anak lelakinya berumur 35 tahun yang bekerja sebagai pemandu jengkaut.

Beliau berkata kedua-dua suspek membuat laporan polis berhubung penemuan mayat lelaki berusia 64 tahun tersebut dan mendakwa sebelum itu telah mencari dan menghubungi mangsa yang merupakan pemandu jengkaut dan pekerja kontraktor berkenaan, namun tidak berjawab.

“Polis menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap, berpakaian lengkap tidak berselipar dan separuh badan telah tertimbus dengan tanah,” katanya dalam kenyataan.



Mohd Azam berkata pemeriksaan awal terhadap mangsa menemukan kesan kecederaan teruk pada bahagian badan dan kepala.

“Kedua-dua suspek ditahan dan akan direman esok di Mahkamah Ampang bagi membantu siasatan kes menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, menambah motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Shahrul Nizam di talian 019-8032684 atau balai polis berhampiran,” katanya.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker