Dr Afif sedia jadi wakil rakyat Bersatu

Dr Afif Bahardin

GEORGE TOWN, 24 Jun — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin mengesahkan bahawa beliau bersedia menjadi wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pulau Pinang selepas dipecat daripada PKR.

Dr Afif mengakui pertemuannya bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya semalam adalah untuk memaklumkan kesediaannya menyertai Bersatu demi kepentingan rakyat di kawasannya.

Bagaimanapun, menurutnya beliau belum menghantar borang permohonan keahliannya dan menyerahkan kepada pimpinan Bersatu untuk menentukan hasratnya.

“Sebelum ini, saya sudah lama dengar ura-ura saya akan dipecat daripada orang dalaman PKR. Tapi sehingga kini saya tidak menerima surat pemecatan daripada parti malah Lembaga Disiplin PKR juga tidak maklumkan apa-apa pada saya.

“Saya (bersedia) menyertai Bersatu sebab nak bantu rakyat. Jadi, saya akan duduk di kerusi pembangkang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Semalam, Dr Afif bersama beberapa ADUN PKR, Bersatu dan PAS Pulau Pinang mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, di Putrajaya.

Selain Dr Afif, pertemuan itu turut dihadiri seorang lagi ADUN PKR, Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), dua ADUN Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) serta ADUN dari PAS Mohd Yusni Mat Piah (Penaga).

Sementara itu, pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, dalam kenyataan, mengesahkan pemecatan keanggotaan Dr Afif oleh Lembaga Disiplin PKR.

Bagaimanapun, Muhammad Bakhtiar, berkata beliau tidak mempunyai maklumat terperinci berhubung pemecatan itu.

“Beliau (Dr Afif) sebelum ini telah digugurkan sebagai Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, dilucutkan hak sebagai ADUN kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri bersama dua ADUN Bersatu selepas disahkan penggantungan serta pemecatan keanggotaannya oleh Lembaga Disiplin PKR,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri merangkap Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata perkembangan terbaharu itu tidak akan menjejaskan kestabilan dan keutuhan PH di Pulau Pinang memandangkan kerajaan negeri masih mempunyai majoriti kukuh di negeri itu.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan ketika ini komposisi di DUN menyaksikan PH menguasai 34 kerusi dengan DAP memegang 19 kerusi, PKR (13) dan Parti Amanah Negara (dua) manakala UMNO memegang dua kerusi, Bersatu (tiga) dan PAS mempunyai satu kerusi.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker