Ramai tak faham Islam tapi suka ‘menyibuk’

Oleh – Syeikh Baran


Ramai tak faham Islam tapi suka 'menyibuk'
Takiyuddin Hassan.

PAS menyifatkan dakwaan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) bahawa cadangan pindaan terbaru Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) akan mewujudkan dua sistem undang-undang jenayah di negara ini bukan saja tersasar jauh, malah menggambarkan ketidakfahaman ketara mengenai undang-undang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius kenyataan berkenaan dan ia didakwa jelas adalah tindakan hasutan membabitkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).



Takiyuddin mendakwa, kenyataan itu bukan semata-mata mengenai isu perlembagaan tetapi juga hal ehwal agama Islam, yang mana MCCBCHST tidak mempunyai apa-apa locus standi untuk memberikan pandangan atau mengemukakan bantahan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan, sistem berkembar undang-undang sudah lama wujud dan dipraktikkan di Malaysia melalui pewujudan sistem Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, yang mana Mahkamah Persekutuan tidak menghapuskan kuasa gubalan negeri secara total ke atas kesalahan yang tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan.

PAS melihat cadangan pindaan Akta 355 mampu memperkasa undang-undang syariah, selaras dengan kehendak demokratik majoriti umat Islam di negara ini.

“Jika MCCBCHST menganggap cadangan pindaan terbaru itu tidak berperlembagaan, maka persoalan yang timbul, adakah MCCBCHST ingin menyatakan Akta 355 juga tidak berperlembagaan? Jika ya, maka ia adalah satu pandangan yang berbahaya, berniat jahat dan tidak berasas sama sekali.



“Undang-undang Syariah tidak terpakai kepada orang bukan Islam dan memandangkan MCCBCHST tidak mengemukakan apa-apa penjelasan atau bukti mengenai kesan pindaan itu ke atas orang bukan Islam, melainkan sebagai andaian kosong semata-mata, maka kenyataan MCCBCHST ini jelas adalah campur tangan yang ketara dalam hal ehwal Agama Islam.

“Ia juga adalah satu bentuk Islamophobia terhadap kedudukan dan amalan agama Islam di negara ini yang dipelihara serta dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, PAS sekali lagi menggesa Putrajaya supaya segera memberikan maklum balas terhadap kenyataan MCCBCHST yang memang songsang dan tersasar itu, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera,” katanya tadi.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan, Presiden MCCBCHST, Tan Hoe Chieow mempertahankan pendirian badan itu mengenai cadangan pindaan kepada Akta 355, dengan berkata, kenyataannya baru-baru ini adalah semata-mata mengenai perkara perlembagaan dan tidak berkaitan dengan agama Islam.



Hoe Chieow mendakwa, pindaan yang dicadangkan itu akan menyebabkan dua sistem undang-undang jenayah wujud antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, sekali gus bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan hak orang bukan Islam.

Kenyataan Hoe Chieow itu sebagai maklum balas kepada kenyataan Takiyuddin, semalam, yang mempersoalkan pandangan MCCBCHST sebelum itu, bahawa cadangan pindaan Akta 355 adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan struktur asas perlembagaan atas alasan kesalahan jenayah berkaitan sudah termasuk dalam undang-undang jenayah sedia ada sebagaimana yang disenaraikan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Akta 355 yang digubal pada 1965 pernah dipinda sebanyak dua kali, dengan yang pertama pada 1984 untuk menaikkan kadar hukuman daripada RM1,000 kepada RM5,000, penjara enam bulan kepada tiga tahun dan menambah hukuman kepada enam sebatan, sekali gus menaikkan had kuasa Mahkamah Syariah dalam kes jenayah syariah selaras peredaran masa.

Beliau berkata, hukuman yang boleh dikenakan Mahkamah Syariah adalah bagi kesalahan yang digubal oleh negeri berdasarkan kuasa gubalan yang termaktub dalam Butiran 1, Senarai II (Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.



“Takrifan kuasa gubalan negeri seperti yang diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes terdahulu jelas sekali mengiktiraf kewujudan sistem berkembar di negara ini.

Sumber – HARIAN METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading