PRK Chini: Calon BN gigih berkempen, tidak pandang mudah cabaran calon bebas

PEKAN, 24 Jun — Meskipun hanya ditentang calon Bebas dan diramalkan mampu mendapat lebih 95 peratus undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain tidak memandang mudah perkara itu dan tetap menunjukkan kesungguhan ketika berkempen.

Menurutnya, beliau hanya dapat tidur kira-kira sejam sehari sejak tempoh berkempen bermula Sabtu lalu.

Katanya ini perlu dilakukannya sebagai orang baharu dalam bidang politik, dan beliau kini memahami menjadi seorang calon dalam pilihan raya adalah tugas yang menguji fizikal dan mental.

“Ini ialah salah satu cabaran bagi saya dalam PRK ini, lebih-lebih lagi saya jadi calon buat pertama kali.



“Kempen PRK sangat menguji fizikal dan mental saya kerana saya hanya dapat tidur satu jam yang bermaksud 23 jam tidak tidur kerana banyak memikirkan kempen yang perlu diselaraskan dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika sesi tinjauan mesra di sekitar Pusat Bandar Dara Chini, dekat sini, hari ini.

Mohd Sharim, 41, berkata beliau mengambil makanan tambahan setiap hari bagi memastikan dirinya terus kekal bertenaga dan mampu terus berkempen sepanjang PRK ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap jentera kempennya dalam PRK ini kerana bertungkus-lumus menyusun jadualnya bagi bertemu pengundi kawasan berkenaan, termasuk ahli PAS yang membantu atas semangat Muafakat Nasional.

Sementara itu, Mohd Sharim berkata sektor pelancongan di kawasan Tasik Chini sentiasa dalam perhatiannya bagi dimajukan semula kerana kawasan itu mempunyai potensi besar.



“Kita akan membuat kajian mengenai kelebihan dan kelemahan sektor pelancongan di Tasik Chini dan kita juga akan fikirkan bagi diadakan tarikan lain di Tasik Chini bagi menarik pelancong ke sana,” katanya.

Pengundian PKR DUN Chini pada 4 Julai ini melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim dan dua calon Bebas iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64.

— BERNAMA

Mohd Sharim Md Zain



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button