Tolak politik tipu helah – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Jun — Tolak politik tipu helah, demikian tegas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebooknya malam ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan bahawa politik bukan sekadar perebutan kuasa tetapi juga tentang bagaimana ia mahu diterjemahkan.

“Untuk membela rakyat atau sekadar meneruskan sistem lama yang lapuk dan usang?” katanya.

Menerusi hantaran itu, Anwar mendakwa terdapat pihak yang menangguk di air yang keruh berikutan situasi politik semasa negara yang dilanda pelbagai isu termasuk mengenai peralihan kuasa.

“Dalam keadaan sekarang ada yang menangguk di air keruh, ada yang sekonyong-konyong (tiba-tiba) nak muncul jadi juara. Tetapi apa yang saya nak tegaskan, balik pada landasan. Politik ini bukan sepak terajang politikus untuk sekadar mencari helah taktik untuk merebut kuasa. Politik adalah terkait dengan urus tadbir, persoalan rakyat.

“Apakah dasar yang dikemukakan? Apakah dasar ini mengekalkan corak pentadbiran usang, lapuk rasuah menindas seperti yang berlaku, sekarang atau pun dahulu,” katanya pada video bertajuk ‘Tolak Politik Tipu Helah’ itu.

Hantaran Anwar itu dilihat muncul susulan kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang menyokong penuh cadangan Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP, agar presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipilih sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri bagi pihak pembangkang – bagaimanapun Anwar dalam hantaran itu tidak merujuk kepada nama sesiapa.

— BERNAMA

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!
%d bloggers like this: