COVID-19 : 213 kes baharu di Singapura, majoriti kes di asrama pekerja asing

SINGAPURA, 28 Jun — Singapura yang kini berada pada minggu kedua fasa kedua pembukaan semula, hari ini mengesahkan 213 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan 11 kes melibatkan jangkitan dalam komuniti.

Dalam data ringkas yang dikeluarkan tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan Singapura, berkata daripada 11 kes itu, enam adalah rakyat tempatan, manakala lima merupakan pemegang pas kerja.

Menurutnya, kebanyakan kes masih melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Ini sekali gus menjadikan jumlah terkumpul kes COVID-19 di Singapura sebanyak 43,459 kes, dengan kes pertama dikesan pada 23 Jan lepas.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,857 daripada kes berkenaan sebagai berkaitan dengan komuniti, 581 sebagai kes import, dan 40,808 melibatkan pekerja asing di asrama.

Menurut kementerian itu, secara keseluruhan, jumlah kes baharu dalam komuniti meningkat daripada purata empat kes sehari kepada enam kes sehari, pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tidak berkaitan dalam komuniti turut meningkat, dari purata dua kes sehari kepada tiga kes sehari dalam seminggu yang lepas.

Sehingga tengah hari semalam, sebanyak 37,163 (86 peratus) daripada jumlah pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital atau tempat penjagaan komuniti.

Semalam, sebanyak 174 kes sedang menerima rawatan di hospital dengan satu kes kritikal kini ditempatkan di unit rawatan rapi.

Tambahnya, sebanyak 5,883 pesakit dengan simptom ringan atau secara klinikal baik tetapi positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 26 orang telah meninggal dunia di Singapura akibat komplikasi yang berpunca daripada COVID-19, dengan dua kes pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Empat kluster baharu dikenal pasti semalam iaitu melibatkan tiga asrama di 79 Kaki Bukit Industrial Terrace; 208 Woodlands Industrial Park E5 dan 230 Woodlands Industrial Park E5.

Kluster keempat adalah tapak pembinaan The Florence Residences di 713 Hougang Avenue 2.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker