Peguam Negara tolak representasi Azlan Man

 

Oleh : Pena Merah

Peguam Negara tolak representasi Azlan Man
Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man ketika menghadiri prosiding berhubung tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen KL pagi ini

 

KUALA LUMPUR: Peguam Negara menolak representasi yang dikemukakan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, supaya lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan lima tuduhan menerima hasil aktiviti haram yang dihadapinya dikaji.



Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai, ketika prosiding sebutan kes itu hari ini bagi mengetahui keputusan representasi yang dihantar Azlan pada 9 November tahun lalu.

“Prosiding hari ini untuk memaklumkan keputusan representasi…bagi pengetahuan mahkamah representasi itu sudah diterima ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Namun demikian, representasi itu ditolak,” katanya.

Noralis berkata, mahkamah sebelum ini sudah menetapkan tarikh perbicaraan yang bermula pada 18 Julai ini dan beberapa tarikh pada bulan Ogos.



Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi sehubungan itu menetapkan pada 14 Jun ini bagi pengurusan kes untuk mengemas kini dokumen berkaitan fakta yang boleh dipersetujui kedua belah pihak dan pernyataan bertulis saksi.

Pada prosiding hari ini, Azlan diwakili peguam bela Muhammad Adam Burhanudeen.

Pada prosiding 9 Jun lalu, Azura membenarkan permohonan pendakwaan supaya lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu terhadap Azlan di Mahkamah Kangar, Perlis digabungkan dan didengar bersama lima tuduhan menerima hasil aktiviti pengubahan wang haram (yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) mengikut Seksyen 165 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Pada 10 April tahun lalu, Azlan mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri Perlis.



Azlan didapati dengan niat menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya sebagai Menteri Besar Perlis, bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017, sedangkan tidak ada sebarang perjalanan berkenaan dilakukan oleh beliau.

Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa membuat pernyataan palsu mengenai butiran membabitkan kos bagi tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London dalam beberapa tarikh pada 20 Disember 2013 hingga 2 Januari 2014, 17 hingga 26 Disember 2014, 18 hingga 29 Disember 2015, 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 serta 23 hingga 30 November 2017.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran dokumen yang palsu atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.



Pada 12 April pula, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, Azlan didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan wakil Aidil Travel, Abdul Rahim Halim.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum bawah seksyen 4(1) akta sama.

SUMBER – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading