Majlis Presiden PH komited pilih Anwar sebagai calon PM


KUALA LUMPUR, 6 Julai — Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kekal komited dengan pendirian asal untuk mencalonkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan nanti.

Majlis Presiden PH turut memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi mengembalikan mandat rakyat dan PH sebagai Kerajaan Persekutuan.

“Kami berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak,” menurut kenyataan bersama PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, hari ini.

Pada masa sama, majlis itu turut membincangkan mengenai cadangan pencalonan Shafie yang juga presiden Warisan sebagai calon perdana menteri.

Menurut kenyataan itu, mereka turut konsisten dengan pendirian bahawa fokus Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah untuk membantu rakyat pasca penularan wabak COVID-19.

“Justeru, kami berpandangan sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum tergempar sebelum tamat tempoh lima tahun, maka kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir PH sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan,” kata kenyataan itu.

PH kini mentadbir Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Majlis Presiden PH turut memutuskan secara sebulat suara untuk menolak usul Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggugurkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

— BERNAMA

Leave a Reply