PRK Chini: Perikatan Nasional persiapkan jentera untuk PRU15 dalam normal baharu ?

PEKAN, 5 Julai — Ramai beranggapan kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu dengan kemenangan besar, banyak didorong oleh faktor ketiadaan lawan yang kuat setelah PAS memberi sokongan kepada BN selain Pakatan Harapan tidak meletakkan calon.

Ini menjadikan calon BN, Mohd Sharim Md Zain, seorang anak tempatan dari Felda Chini 3, hanya ditentang dua calon Bebas, yang berasal dari luar DUN itu.

Namun, kerjasama PAS dan BN, atas semangat Muafakat Nasional UMNO-PAS, serta gabungan baru parti-parti dalam Perikatan Nasional boleh dilihat sebagai persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terutama dalam pelaksanaan normal baharu berikutan ancaman pandemik COVID-19.



Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata faktor kemenangan besar adalah kerana keberkesanan jentera BN dan PAS di bawah gabungan Muafakat Nasional di samping latar belakang calon muda yang baik dan berkualiti.

Ujarnya BN ketika bermesyuarat di ‘war room’ hanya menjangka undi yang akan diterima calon BN adalah sekitar 10,000 undi sahaja.

“Dalam ‘war room’ kami jangka akan terima undi sebanyak 10,000 undi, atau lebih sedikit sahaja. Ini berikutan pelbagai faktor yang telah diambil kira. Apabila kita menang majoriti 12,560 undi, itu kejayaan yang amat besar berbanding majoriti sebelum ini,” katanya.

PRK Chini menyaksikan Mohd Sharim, 41, menang dengan majoriti 12,650 undi, setelah memperoleh 13,872 undi, mengalahkan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang memperoleh 137 undi sahaja. Kedua-dua calon Bebas itu hilang wang deposit.



Mohd Sharim meningkatkan majoriti kemenangan penyandang Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang mendapat 10,027 undi dengan majoriti 4,622 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas.

Sejak mula boleh dilihat sebaik BN menamakan Mohd Sharim, Pengerusi Majlis Belia Felda Kuantan yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, sebagai calon BN, jentera BN dan dibantu PAS bersatu hati bekerja keras berkempen memastikan kemenangan calon BN itu.

Ia mendorong kepada keberkesanan jentera BN-PAS bekerja secara berpasukan selain restu daripada pimpinan peringkat Perikatan Nasional, yang juga gabungan parti kerajaan di peringkat Persekutuan.

Ahmad berkata kerjasama di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang kali pertama diterjemahkan dalam PRK Chini ini bukan sahaja sekadar di atas kertas semata-mata.



“Ini juga membuktikan gabungan Muafakat Nasional dengan restu Perikatan Nasional bukan sahaja berlaku di atas kertas sahaja tetapi ia adalah realiti politik. Dengan jumlah majoriti undi 12,650 ini juga membuktikan bahawa apa yang ada di atas kertas itu, lebih kurang sama dengan politik sebenar yang berlaku pada PRK ini,” katanya.

Keberkesanan jentera kempen itu telah memberi isyarat kepada rakyat tentang keupayaan kerajaan Perikatan Nasional, sebagai gabungan parti politik yang mampu bekerjasama menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara.

Kemenangan besar BN juga dikatakan atas faktor kehadiran ramai pengundi luar yang pulang ke kampung untuk mengundi pada PRK DUN Chini, walaupun PRK DUN Chini tidak membawa kesan besar atau perubahan kepada landskap politik negara sama ada di peringkat negeri atau pun pusat.

Difahamkan terdapat usaha terutama daripada BN yang berusaha keras memujuk pemilih di luar untuk pulang mengundi.



Kira-kira 74 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka semalam, mengatasi sasaran 70 peratus yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), agak tinggi mengambil kira negara masih berhadapan dengan ancaman COVID-19 selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang mungkin menyukarkan sedikit proses mengundi.

Pensyarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Ainul Adzellie Hasnul berpendapat kemenangan BN di DUN Chini dengan majoriti besar akan memperkukuhkan lagi kedudukannya pada sidang DUN kerajaan di Pahang sebagai kubu kuat BN.

“Pengundi luar tetap dilihat pulang mengundi, sekaligus menterjemahkan penghargaan terima kasih kepada BN yang juga satu daripada parti penting dalam kerajaan Perikatan Nasional. Ini petanda rakyat gembira dengan pengurusan kepimpinan kerajaan yang diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjaga kebajikan rakyat biarpun baru empat bulan memerintah,” katanya.

Muhyiddin dan Bersatu sebelum ini telah menyatakan sokongan untuk BN meletakkan calon pada PRK DUN Chini, malah jentera Bersatu turut digerakkan untuk membantu kempen calon BN.



Terdapat 20,990 pemilih berdaftar bagi DUN Chini terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal, dengan kira-kira 8,000 pengundi tinggal di luar kawasan DUN.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button