Selepas dua tahun tragedi gua Tham Luang, pemain dan jurulatih teruskan impian masing-masing

CHIANG RAI, 8 Julai — Dua tahun sudah berlalu, sejak misi menyelamat sekumpulan 12 pemain bola sepak remaja dan jurulatih mereka yang terperangkap lebih dua minggu di gua Tham Luang di utara wilayah Chiang Rai, Thailand.

Mengimbau detik cemas itu, penyelam Britain, Vernon Unsworth yang turut terbabit dalam misi menyelamat yang sangat rumit itu berkata, kini pemain remaja berusia antara 11 hingga 16 tahun kian meningkat dewasa.

“Gembira melihat mereka dapat meneruskan pelajaran dan kembali bermain bola sepak. Mereka sangat bertuah, ” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.



Pada 23 Jun 2018, pasukan bola sepak remaja Wild Boars bersama jurulatih mereka meneroka gua Tham Luang di daerah Mae Sai, Chiang Rai. Hujan lebat ketika itu menyebabkan terowong di dalam gua berkenaan dinaiki air menyebabkan mereka terperangkap.

Misi menyelamat selama 17 hari itu mendapat perhatian dunia, melibatkan kira-kira 10,000 anggota termasuk lebih 100 penyelam, sukarelawan, kakitangan perubatan, polis dan tentera.

Peristiwa itu turut meragut nyawa dua anggota penyelamat. Bekas anggota unit SEAL Angkatan Laut Thailand, Leftenan Komander Saman Gunan, 38, terkorban semasa menghantar tangki oksigen pada 6 Julai 2018. Sebuah arca didirikan di pintu masuk gua sebagai mengenang jasa dan pengorbanan beliau.

Penyelam Sarjan Mejar Beirut Pakbara pula meninggal dunia Disember tahun lalu selepas mengalami jangkitan kuman pada darah ketika melakukan operasi menyelamat.



Jurulatih, Eakapol Chantawong, 27, menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anggota penyelamat yang bertungkus lumus menyelamatkan mereka.

Beliau berkata peristiwa itu memberinya banyak pengalaman berharga. Eakapol, kemudian menubuhkan Akademi Eakapol, untuk remaja kurang bernasib baik dan tanpa kewarganegaraan .

“Banyak perkara berubah dalam dua tahun kebelakangan ini. Saya tubuhkan pasukan bola sepak saya sendiri untuk mengalakkan remaja minat bermain bola sepak. Saya berharap dapat melatih lebih ramai pemain muda untuk lebih berjaya sehingga ke peringkat (liga).

Pemain Wild Boars pula menjalani kehidupan seperti biasa, ada yang kembali beraksi di padang dan sebahagian mengambil keputusan untuk menumpukan lebih perhatian kepada pelajaran.



Adul Samon, 16, berkemahiran bertutur dalam banyak bahasa termasuk Inggeris, Burma, Mandarin dan Thailand, ketika tragedi turut memainkan peranan penting menjadi jurubahasa kepada anggota penyelam dari Britain.

“Saya kini semakin matang dan lebih bertanggungjawab,” katanya.

“Walaupun sudah dua tahun, peristiwa itu masih bermain-main di fikiran saya. Terima kasih kepada semua yang telah membantu semasa operasi menyelamat.

“Saya masih main bola sepak tapi tetap beri tumpuan pada pelajaran. Impian saya nak jadi doktor, ” katanya.



Phiphat Photi, 17, yang lebih berisi dan semakin tinggi pula menyimpan impian menjadi pemain bola sepak profesional.

Sempena ulang tahun kedua operasi menyelamat, kesemua pemain dan jurulatih bersama isteri mendiang Saman, Valepon Gunan menghadiri upacara memperingati di gua itu pada Isnin (6 Julai).

Sementara itu, pejabat wilayah Chiang Rai sedang mengumpulkan peralatan yang digunakan semasa operasi menyelamat termasuk tangki oksigen, sut selam, pam air, katil hospital dan khemah untuk dijadikan bahan pameran.

Gua Tham Luang dibuka semula kepada pelancong November tahun lalu. Ia kini menjadi daya tarikan pelancong dan pengunjung berpeluang melihat gambar yang dirakamkan sepanjang misi menyelamat dijalankan, dipamerkan di pintu masuk gua.



Tahun lalu, Netflix menandatangani perjanjian untuk menghasilkan minisiri mengenai operasi menyelamat itu, bakal diarahkan pengarah “Crazy Rich Asians”, Jon M. Chu dan pengarah “Bad Genius”, Nattawut “Baz” Poonpiriya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button