Bomba Johor sibuk dengan tugas khidmat khas haiwan berbisa

JOHOR BAHRU, 9 Julai — Anggota bomba menangkap seekor ular sawa sepanjang tiga meter di Iskandar Puteri, Gelang Patah, malam tadi iaitu tugas pertama menyelamatkan haiwan oleh anggota bomba Johor sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak COVID-19.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri itu hanya mengambil masa 20 minit untuk mengangkap ular seberat 45 kilogram itu, justeru membuktikan kehebatan mereka dalam menyelamatkan haiwan liar itu setanding dengan kemahiran memadam kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata sejak kebelakangan ini, pihaknya, lebih kerap menerima panggilan untuk menangkap ular, biawak, atau menyelamatkan kucing, anjing dan lembu yang terlepas serta membuang sarang tebuan.



Beliau berkata terdapat lebih banyak kes kemunculan ular, biawak dan sarang tebuan daripada kes kemalangan dan kebakaran.

“Memang sejak PKP, 18 Mac lalu, itulah statistik yang kita terima setiap hari melibatkan khidmat khas haiwan berbisa lebih banyak berbanding kerja memadam kebakaran dan menyelamat.

“Kadangkala, sehari tidak kurang dari 10 kes sehingga 30 kes setiap hari di seluruh Johor,” katanya kepada Bernama.



Yahaya juga berkata cuaca panas dan hujan turut menyumbang kepada peningkatan kes melibatkan haiwan berbisa.

Antara April dan Jun tahun ini, jumlah kes melibatkan khidmat khas kemanusiaan meningkat sekitar 40 hingga 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Pada April ini, terdapat 431 kes berbanding 319 pada April tahun lalu. Pada Mei tahun ini, terdapat 489 berbanding 349 kes pada Mei tahun lalu. Bulan lalu, jumlah kes melonjak kepada 638 berbanding 391 kes pada Jun tahun lalu,” katanya.



Menurutnya, sekitar 30 hingga 40 peratus kes yang dilaporkan melibatkan reptilia dan serangga berbisa. dan khidmat khas lain termasuk menyelamatkan anak kucing dan anjing serta menangkap lembu yang melarikan diri.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button