IPP dijangka pulih pada bulan-bulan akan datang – MIDF Research

KUALA LUMPUR, 9 Julai — MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) menjangkakan Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) akan pulih dalam beberapa bulan mendatang setelah kadarnya melonjak 18.2 peratus dari bulan ke bulan pada Mei 2020.

Dalam nota penyelidikan hari ini, firma penyelidikan itu berkata ia berdasarkan kepada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia yang meningkat kepada 51.0 pada bulan Jun, 2020 daripada 45.6 pada Mei, 2020.

“Walaupun kami menjangkakan pengeluaran akan pulih dalam bulan-bulan akan datang, tahap aktiviti akan mengambil masa untuk kembali kepada tahap sebelum berlakunya penularan COVID-19,” katanya.

Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan bahawa IPP Malaysia meningkat 18.2 peratus dari bulan ke bulan pada Mei, 2020 kerana kerajaan telah membenarkan lebih banyak industri untuk beroperasi semula berikutan kenaikan semua indeks iaitu Pembuatan (25.9 peratus), Elektrik (13.7 peratus) dan Perlombongan (0.4 peratus).

Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan berkata bagi tahun ke tahun IPP jatuh 22.1 peratus pada bulan tersebut berbanding bulan Mei, 2019 susulan penurunan ketara dalam semua indeks iaitu Pembuatan (-23,2 peratus), Perlombongan (- 22.2 peratus) dan Elektrik (-10.3 peratus).

Penguncupan tahunan pada Mei 2020, bagaimanapun lebih kecil daripada penurunan 32 peratus yang dicatatkan pada April, 2020 disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mencegah penularan COVID-19.

MIDF Research berkata prestasi tahunan pada Mei 2020 adalah seiring dengan jangkaannya kerana lebih banyak aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi semula.

“Penurunan yang lebih perlahan pada Mei 2020 disebabkan oleh pemulihan dalam pengeluaran pembuatan dan penjanaan elektrik.

“Namun, output untuk sektor perlombongan turun pada kadar yang lebih cepat pada bulan tersebut,” katanya.

Melangkah ke depan, firma penyelidikan itu mengekalkan unjurannya bahawa pertumbuhan IPP akan berada pada paras negatif bagi sepanjang tahun, pada -5,4 peratus untuk 2020 dibandingkan dengan 2.3 peratus pada 2019.

“Ia mengambil kira penurunan dalam aktiviti pengeluaran selepas tempoh PKP. Selain itu, IPP jatuh dengan purata sebanyak 10.4 peratus tahun ke tahun bagi lima bulan pertama tahun ini,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker