Pengunduran ADUN Kalaka wajar dicontohi – Abang Johari

KUCHING, 9 Julai — Pengunduran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz, 72, wajar dicontohi, kata Presiden Parti Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Inilah budaya kita dalam PBB. Dalam PBB, kita tahu bila masanya untuk beri laluan kepada orang muda. Kita harap parti-parti lain juga mengikut cara kita ini,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Abdul Wahab yang telah memutuskan untuk berehat dari arena politik.

Bercakap dalam sidang media selepas melawat projek bekalan air bahagian Samarahan, dekat sini hari ini, Abang Johari berkata siapa bakal pengganti Abdul Wahab nanti, akan ditentukan kemudian.



Difahamkan Abdul Wahab, 72, telah mengumumkan hasrat untuk berehat daripada arena politik dalam mesyuarat jawatankuasa Cawangan PBB Kalaka, disebabkan faktor usia, selain bertujuan memberi peluang kepada pemimpin muda melaksanakan tugas membangunkan Kalaka dan penduduk kawasan berkenaan.

Abdul Wahab telah menjadi Adun selama enam penggal, dan pernah berada dalam Kabinet Sarawak dengan memegang jawatan sebagai Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar pada 2010-2013, dan Menteri Muda Perumahan dan Perancangan Bandar serta Menteri Muda Pembangunan Tanah pada 2013-2016.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button