UMNO WAJAR TANDINGI SEMUA KERUSI ‘KATAK’ PADA PRU15 BUKAN HANYA MERSING

KERUSI PARLIMEN ‘KATAK’ JUGA WAJAR DITANDINGI BN

Presiden Umno Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerusi parlimen Mersing akan kekal di tangan Umno pada Pru15. Beliau menaikmuat kapsyen berkenaan dalam satu ciapan di twitter.

Kenyataan Zahid dilihat sebagai membalas kenyataan seorang Menteri yang menyatakan Umno sudah tidak laku ketika bersiaran langsung dalam satu program. Menteri berkenaan telah memohon maaf dan menyifatkan kenyataan beliau disalah tafsir namun sudah terlewat. Rata-rata ahli Umno nyata berang dengan kenyataan Menteri kerana beliau memenangi kerusi Mersing menggunakan platform Umno dan lambang Barisan Nasional dan bertindak melompat parti selepas memenangi kerusi tersebut. Kecaman demi kecaman dizahirkan terhadap Menteri berkenaan dan mengejutkan sekali apabila sisi sebenar cara dan layanan politik Menteri tersebut turut terdedah.

Sebelum itu Najib Razak turut mengecam kenyataan Menteri berkenaan dan menyatakan Umno akan ambil kembali kerusi berkenaan memandangkan Menteri itu bukan lagi ahli Umno.

Apa yang menarik ialah bila ahli Umno turut mendesak agar Umno berani mengambil langkah bertanding di semua kerusi ahli parlimen yang melompat keluar parti selepas memenangi Pru14. Cabaran ini perlu difikirkan Presiden Umno sebagai satu ketegasan politik survival Umno sendiri pada Pru15.

Berapa ramai ahli Umno yang kecewa apabila ahli parlimen mereka menikmati hasil kudrat mereka yang bertungkus lumus berkempen bagi memastikan kemenangan namun akhirnya ditinggalkan selepas menang semata-mata kerana BN KALAH PRU14. Tindakan melarikan diri ketika menang atas tiket BN dan menggunakan alasan survival pengundi dan kawasan diwakili sangat tidak boleh di terima apatah lagi setelah merasai keperitan 22 bulan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan. Semurah itukah nilai undi kepada ahli parlimen yang hanya memikirkan kantung sendiri berbanding prinsip kesetiaan berparti dan tidak lari dari medan perjuangan?

Zahid perlu ‘panggung kepala’ kali ini dan jangan benarkan Umno diinjak-injak seperti ‘peminta sedekah’ untuk setiap kerusi yang akan ditandingi kelak. Usah lagi berseloka pantun bermadah pujangga hanya untuk menjaga hati mereka yang pernah merobek hati 3 juta ahli Umno. Kerjasama Umno-Pas dalam Muafakat Nasional sebenarnya digeruni pihak lawan dan disegani kawan kerana kerjasama ini terbukti dalam 6 pilihanraya selepas 2018. Berikan isyarat kepada pihak lawan dan kepada yang merancang mahu merobek Umno dalam diam bahawa mereka akan menemui kegagalan.

Mampukah Zahid berdepan cabaran besar ini sendirian? Pejuang tulen Umno tidak pernah meninggalkan Presiden Umno dan beliau bertuah mempunyai seorang Timbalan yang begitu bersemangat juga seorang sahabat dari Pekan yang sentiasa tersenyum walau kepahitan melanda Umno satu masa lepas. Begitu juga rangkaian kepimpinan tertinggi Umno bersama komponen Barisan Nasional seperti MCA, MIC yang bergerak menyantuni rakyat tanpa lelah, kini bersahabat baik pula dengan PAS yang komited dengan Muafakat Nasional dan dijangkakan sudah bersedia jika PRU15 diadakan pada bila-bila masa.

Artikel adalah kiriman Iskandar Yunsi Damansara Height.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker