AGM MCA diadakan pada September dan Oktober – Setiausaha Agung

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) semua cawangan dan bahagian MCA akan diadakan pada September dan Oktober ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Agungnya Datuk Chong Sin Woon berkata keputusan ini berlandaskan pengumuman Majlis Keselamatan Negara bahawa semua mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan yang dianjurkan parti politik, syarikat, persatuan, koperasi dan semua pertubuhan berdaftar dengan ROS boleh memulakan AGM bermula 1 Julai.

“Sehubungan itu, mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pada 19 Jun memutuskan bahawa semua cawangan akan mengadakan AGM masing-masing pada September dan Oktober ini dengan kehadiran peserta tidak melebihi 250 orang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.



Katanya mengikut ketetapan perlembagaan parti, semua ahli perlu diberi notis minimum 14 hari sebelum hari mesyuarat dan semua cawangan serta bahagian perlu mendaftarkan ahli menggunakan aplikasi MySejahtera, memeriksa suhu badan selain mengamalkan jarakan sosial.

Tambah Chong, Jawatankuasa Pusat MCA juga akan mengeluarkan senarai SOP untuk rujukan cawangan dan bahagian parti.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button