Sibu tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2020

KUCHING,10 Julai — Bandar Sibu akan menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Beliau berkata keputusan memilih bandar berpopulasi kira-kira 200,000 penduduk itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Induk sambutan Hari Malaysia 2020 bersama, di antara kerajaan negeri dan Persekutuan pagi tadi.

“Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dan seluruh rakyat Sarawak yang sudi menjadi tuan rumah sambutan hari bersejarah itu buat kali kedua berturut-turut,” katanya pada sidang media Hari Malaysia dan majlis pelancaran logo Bulan Kebangsaan 2020 di Auditorium Bangunan Pelita di sini hari ini.



Terdahulu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, yang juga bertindak selaku menteri negeri bertanggungjawab bagi sambutan Hari Malaysia 2020.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Dr Rundi berkata menjadi tuan rumah dua kali berturut-turut bagi sambutan itu adalah suatu perkara bersejarah buat Sarawak dan sememangnya kerajaan negeri amat menghargai pengiktirafan itu.

Dr Rundi berkata kerajaan negeri sebenarnya yang memohon untuk mengadakan sambutan itu di sini bagi tahun ini selepas menjadi tuan rumah pada 2019.

“Sambutan pada tahun ini akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan diadakan di dalam kawasan tertutup seperti hotel dan kehadiran adalah berdasarkan jemputan,” katanya.



Sambutan Hari Malaysia pada tahun lepas telah diadakan di Stadium Perpaduan Kuching yang dihadiri oleh Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Abang Johari.

Mengikut kebiasaannya sebelum ini, tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia diselang-selikan di antara Sarawak dan Sabah sejak 2012 dengan Sarawak menjadi tuan rumah pertama.

Bagaimanapun aturan ini tidak diikuti pada tahun 2018, apabila Sabah yang menjadi tuan rumah pada tahun sebelumnya dipilih lagi untuk menjadi lokasi sambutan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button