Dua beradik maut, kereta dinaiki terbabas di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

SEREMBAN, 11 Julai — Dua beradik maut manakala dua lagi cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 13 Lebuhraya Seremban-Port Dickson arah Seremban di sini, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan Superintenden Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata dalam kejadian pada 4.45 petang itu, kedua-dua mangsa yang cedera parah iaitu seorang lelaki dan seorang wanita merupakan anak kepada mangsa yang maut.

“Mangsa yang maut dikenali sebagai Faridah Sutin, 55, dan Norazimah Sutin, 57. Mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Muhammad Firdaus Mahadi, 20, merupakan anak Faridah dan Alia Husna Saharudin, 24, anak kepada Norazimah.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Muhammad Firdaus dari arah Port Dickson menuju ke arah Kuala Pilah hilang kawalan dan terbabas ke kawasan landai di tepi lebuh raya sejauh hampir dua meter,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk rawatan lanjut dan bedah siasat.

Katanya siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker