Cadangan perkongsian air boleh dimulakan dengan SPRWTS – PBAPP

GEORGE TOWN, 14 Julai — Cadangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) supaya negeri yang mempunyai lebihan air berkongsi dengan negeri yang menghadapi kekurangan sumber itu mungkin boleh dimulakan dengan Kerajaan Persekutuan melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) untuk Pulau Pinang dan Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata perbadanan itu menyokong penuh rancangan berkenaan kerana ia bukan satu pendekatan baharu.

“Memandangkan skim penyaluran air berskala besar seperti Johor-Melaka dan Pahang-Selangor sudahpun beroperasi, kami mengalu-alukan usaha KASA untuk mempercepatkan SPRWTS,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 9 Julai, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dalam satu sidang akhbar bahawa Kerajaan Persekutuan sedang dalam perbincangan dengan negeri-negeri dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air.

Menurut Tuan Ibrahim antara negeri yang mempunyai lebihan bekalan air ialah Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah sementara Melaka merupakan antara negeri yang sering menghadapi masalah air.

Sementara itu, Jaseni berkata Pulau Pinang menanti keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan SPRWTS sejak 2011.

Beliau berkata SPRWTS adalah satu penyelesaian bekalan air mentah yang penting buat masa hadapan Pulau Pinang kerana ia bakal menjamin bekalan air untuk Pulau Pinang dan utara Perak sehingga 2050.

“Satu kajian mengunjurkan Sungai Muda mungkin mampu membekalkan air ke Pulau Pinang, merupakan sumber tunggal air mentah sehingga 2025. Pada masa itu, Pulau Pinang mungkin menghadapi risiko besar berhadapan krisis bekalan air, melainkan ia mendapat sumber air mentah utama kedua.

“Apa yang kami minta supaya KASA mengetuai dan menyegerakan inisiatif SPRWTS sebagai satu penyelesaian bekalan air mentah untuk manfaat Perak dan Pulau Pinang,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *