Mizz Nina bukanlah satu-satunya penjaga sah – Noh

 

Oleh Pena Merah

Mizz Nina bukanlah satu-satunya penjaga sah - Noh
Noh berusaha bertemu Musa selepas bercerai dengan Mizz Nina, namun permintaannya ditolak apabila komunikasi dengan bekas isteri dan keluarganya disekat.

Penyanyi yang juga vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mendakwa bekas isterinya, Mizz Nina bukanlah satu-satunya penjaga sah ke atas anak angkat mereka, Musa.

Noh atau nama sebenarnya, Muhammad Noh Salleh mendakwa, sehingga hari ini, Mizz Nina gagal tunjuk akuan berkanun atau dokumen sokongan lain yang mengesahkannya penjaga tunggal, sekali gus menafikan dirinya antara penjaga sah.



“Ibu kandung Musa membenarkan saya menjaganya menerusi akuan berkanun yang dia sendiri serahkan kepada saya.

“Kami sudah buktikan dan tunjuk surat kepada Mizz Nina. Nama saya juga dinyatakan sebagai penjaga sah Musa dalam dokumen yang saya sendiri daftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa ditemani Mizz Nina.

“Jadi, mana kebenaran atas dakwaan yang nama saya tidak dinyatakan dalam dokumen tersebut?

“Apa buktinya yang dia (Mizz Nina) penjaga tunggal Musa yang sah? Mana dokumen sokong dakwaan berkenaan?



“Nampak tak macam mana Mizz Nina bermain dengan semua dakwaan ini? Saya boleh buka semua bukti daripada awal sebab semuanya ada bersama saya. Tetapi, saya tak mahu dedahkan aib bekas isteri,” dakwanya kepada BH Online.

Sementara itu, peguam mewakili Noh, Megat Syazlee Mokhtarom dan Muhammad Shamsyuar Jasmin menyifatkan hujah digunakan oleh Mizz Nina sama seperti keterangan Noh yang menyatakan Musa diserahkan oleh ibu kandung Musa yang hanya mahu dikenali sebagai Athira.

“Dia kata mana boleh ambil Musa tanpa kebenaran. Jadi, hujahan sama Noh katakan yang ibu kandungnya serah Musa kepadanya.

“Jadi apa bezanya? Bila kes sudah ditarik balik tiada perintah mahkamah siapa yang layak menjaga,” katanya.



Mizz Nina bukanlah satu-satunya penjaga sah - Noh
Noh mendakwa, Mizz Nina gagal tunjuk akuan berkanun atau dokumen sokongan lain yang mengesahkannya penjaga tunggal, sekali gus menafikan dirinya antara penjaga sah. – NSTP/Genes Gulitah

Semalam, Mizz Nina bertindak memfailkan penarikan semula kes penjagaan penuh dan inter-parte hak penjagaan sementara bagi Musa.

Terdahulu, Mizz Nina mendakwa Noh membawa keluar Musa tanpa kebenaran dan pengetahuannya.

Mizz Nina mengakui, ia disifatkan sebagai satu pengkhianatan dan memberikan kesan emosi kepadanya, apatah lagi, dirinya adalah ibu susuan Musa dan tidak pernah berjauhan dengan anak angkatnya selama itu.

Katanya, kejadian anaknya dibawa keluar dari rumah berlaku pada 19 Disember tahun lalu ketika dirinya dalam penerbangan menuju ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.



Mizz Nina kemudiannya mendapatkan perintah mahkamah dan berjaya mendapatkan Musa kembali.

Dalam pada itu, Noh memaklumkan berusaha bertemu Musa selepas bercerai dengan Mizz Nina, namun permintaannya ditolak apabila komunikasi dengan bekas isteri dan keluarganya disekat.

“Saya boleh buktikan yang dia sekat komunikasi. Saya ada bukti menghubungi ibunya, pembantu peribadi dan kakak iparnya. Semua sekat nombor saya.

“Jadi, untuk Mizz Nina mendakwa saya tak pernah datang bertemu Musa selepas bercerai tidak benar sama sekali. Dia sudah sepenuhnya sekat saya,” katanya.



Pagi tadi, Noh hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi proses perbicaraan di hadapan hakim berkenaan penarikan balik untuk kes penjagaan penuh inter-parte bagi hak penjagaan sementara bagi Musa.

-Berita Harian-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button