Tiada masalah bagi Durakovic jika Liga-M bermula September

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, tiada masalah baginya untuk Liga Malaysia (Liga-M) bermula semula pada bulan September, walaupun kerajaan Malaysia telah membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan kontak tanpa penonton, bermula 15 Ogos.

Beliau berkata, untuk memulakan semula Liga-M pada September juga tiada masalah, kerana pasukan telah diberikan masa yang lebih panjang untuk berlatih, dan pasukan dibenarkan untuk mengadakan latihan kontak bermula esok.

Durakovic yang memainkan peranan penting dalam membantu Perak menjadi juara Piala Malaysia 2018 berkata, apa yang penting sebelum bermulanya liga ialah memastikan kecergasan pemain berada di dalam keadaan terbaik bagi mengelakkan kecederaan.

“Sekarang kita mempunyai masa untuk kumpulkan semua pemain dalam satu masa, sama ada kita bermula lebih awal atau bulan September. Tiada pasukan pun dapat apa-apa kelebihan, kerana kita semua dalam situasi sama. Dari segi tempoh masa latihan yang lama, semua pasukan melalui perkara itu, jadi tiada masalah.

“Kalau bermula pada Ogos mungkin kebaikannya daripada aspek lain pula, jadi terserah kepada MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) untuk memutuskan kerana bagi saya, kedua-duanya tetap pilihan yang positif untuk pasukan”, katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

MFL merancang untuk memulakan Liga Super dan Liga Premier 2020 masing-masing pada 1 dan 2 Sept, dengan format baru separuh liga, manakala pusingan kalah mati akan melibatkan 16 pasukan akan mengantikan perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Piala FA dan Piala Cabaran telah dibatalkan.

Dalam masa yang sama Durakovic gembira kerana pasukan kini boleh melaksanakan latihan kontak pasukan selepas hampir sebulan mengendalikan latihan pasukan tanpa kontak.

“Saya memang tidak sabar untuk melihat semua pemain berkumpul, kerana ketika ini sesi latihan agak terhad apabila perlu dibahagikan kepada beberapa kumpulan,” katanya.

Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan tarikh rasmi permulaan semula Liga-M, selepas menerima laporan penuh daripada Sekteriat MFL dalam masa terdekat.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker