GPS beri sokongan penuh kepada kerajaan pusat

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan pusat dalam memastikan negara terus stabil berdepan dengan pelbagai cabaran ketika ini.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) semasa menyatakan perkara itu berkata parti itu sentiasa mengutamakan kepentingan dan apa yang terbaik untuk Sarawak serta menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami merasakan bahawa kami boleh bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam membangunkan Sarawak,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.



Rohani berkata kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak perlu terus berkongsi dan merangka strategi bersama untuk pertumbuhan ekonomi kedua-duanya dan dapat menyumbang di antara satu sama lain, memandangkan Sarawak mempunyai sumber asli yang banyak dan potensi biodiversiti yang luas.

“Agenda Sarawak First akan terus menjadi keutamaan kerajaan GPS demi kepentingan negeri dan rakyatnya,” katanya.

Sarawak, yang ketika ini menyumbang lebih kurang 10 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dijangka memberi sumbangan berimpak tinggi terhadap pertumbuhan ekonomi negara, kata Rohani.

Menyentuh isu pelancongan, Rohani mencadangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memanjangkan skop diskaun pengangkutan awam dan tiket masuk ke tempat pelancongan yang diberikan kepada golongan tertentu seperti warga emas ketika ini, untuk turut meliputi bilik hotel dan pakej pelancongan.



Beliau berkata ia bagi membantu menyemarakkan pelancongan domestik yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang menyaksikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Produk pelancongan bukan hanya terhad kepada tempat menarik, alam sekitar semulajadi, inap desa, tapi juga produk-produk tempatan terutamanya produk yang unik bagi sesuatu tempat atau negeri, sama ada makanan, kraf tangan dan bahan mentah turut perlu dipromosi,” katanya.

Selaras dengan itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan cuti tambahan sehari pada setiap hari Jumaat atau Ahad mengikut cuti hujung minggu negeri-negeri berkenaan bagi memberi ruang kepada rakyat tempatan bercuti di dalam negara.

Katanya ia membolehkan rakyat menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga dengan melancong lebih lama iaitu tiga hari dua malam dan mengurangkan kesesakan di tempat tumpuan pelancong.



“Tambahan satu malam ini juga boleh beri ruang untuk menikmati percutian ke destinasi-destinasi lebih jauh seperti ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button