Ketua PKR Jempol antara 26 keluar parti

JEMPOL, 15 Julai — Ketua PKR Jempol Karip Mohd Salleh antara 26 individu dari cabang itu yang mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini atas alasan hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti peringkat pusat dan negeri.

Karip yang mengetuai kumpulan itu turut menyalahkan kegagalan pucuk pimpinan PKR menyelesaikan kemelut dalaman sehingga menyebabkan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan tumbang.

“Pemecatan dan penggantungan ahli yang berterusan juga adalah langkah sumbang.



“Kebanyakan yang keluar hari ini adalah ahli jawatankuasa Cabang Jempol termasuk lantikan dan sebahagiannya yang digantung keahliannya oleh parti. Saya juga telah digantung pada April lepas dan kami tidak akan merayu,” katanya pada sidang media mengenai perkara itu, di sini hari ini.

Karip berkata Timbalannya Halim A. Aziz; Naib Ketua 1 T. Murly; Timbalan Ketua Wanita Norizan Musa; Ketua Srikandi yang juga Setiausaha Srikandi Negeri Sembilan Shahira A Rahman dan Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nur Akmal Idzwan Wahid adalah antara yang keluar parti hari ini.

Karip berkata kumpulan itu turut menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button