NAJIB TEMPELAK PAKATAN HARAPAN DALAM SIDANG PARLIMEN

NAJIB SENTUH PELBAGAI PERKARA DALAM DEWAN

Teks ucapan YB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak di Parlimen hari ini.

Tuan Yang Dipertua,

Saya bangun untuk menyokong Titah Ucapan Diraja Sempena Pembukaan Sesi Parlimen Keempat Belas, Penggal Ketiga.

Saya seperti rakan-rakan lain ingin mengucapkan tahniah ke atas pelantikan YB Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang di- Pertua Dewan Rakyat dan YB Dato’ Sri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Sebagai permulaan, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih ke atas kejayaan kerajaan PN dan ‘frontliners’ mengawal dan membendung wabak Covid-19 dalam negara.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerajaan bertukar tangan pada masa yang paling tepat dan usaha tegas serta tiada kompromi dalam memerangi wabak Covid sehingga berjaya menjadikan Malaysia sebagai antara segelintir negara-negara dalam dunia yang berjaya mengawal Covid.

Berbanding dengan kerajaan dahulu, kerajaan kini lebih fokus untuk menghentikan Covid19. Kalau PH sebelum ini hanya menyasarkan rakyat, tidak boleh ditegur dan jika ditegur akan didakwa. Sebagai contoh Menteri PH memarahi rakyat yang mahu menyekat pelancong asing, mencari dan mendakwa dalam mahkamah rakyat yang mengeluarkan kebimbangan terhadap Covid dan beri gelaran kepada rakyat dengan gelaran seperti ‘corona-palatao’.

Satu lagi contoh- DBKL di bawah YB Shah Alam yang meluluskan perhimpunan tabligh seramai 16,500 peserta ketika di tengah-tengah pandemik.

Walaubagaimanapun, saya menyeru kerajaan untuk lebih berjaga-jaga dan lebih tegas dalam usaha mengawal kes import – sama ada dari warga kita yang pulang dari luar negara atau pelawat asing – kerana ini antara punca utama kenapa beberapa negara lain terpaksa melaksanakan semula perintah berkurung selepas mereka pada mulanya percaya mereka telah berjaya mengawal Covid.

Kuarantin dan saringan kes import adalah sangat-sangat penting. Sesiapa yang melanggar kuarantin mesti dikenakan hukuman penjara mandatori dan bukan dengan didenda atau dikompaun sahaja. Seperti satu kes yang berlaku di Sarawak bulan lepas.

Kita perlu ingat bahawa krisis Covid seluruh dunia masih dalam trend meningkat dengan jumlah kes baru setiap hari pada minggu ini melebihi 200,000 orang setiap hari iaitu 10 kali ganda berbanding jumlah kes baru 20,000 seluruh dunia semasa kita memulakan Perintah Kawalan Pergerakan fasa 1 kita pada 18 Mac lalu.

Sebab itu, sebagai negara dengan ekonomi terbuka yang banyak bergantung kepada perdagangan antarabangsa, pengeluaran komoditi dan pelancongan, ianya tidak cukup sekadar Malaysia menang sahaja tetapi negara-negara lain dalam dunia masih bergelut dengan ancaman Covid.

Justeru, saya percaya bahawa krisis ekonomi Covid akan bertambah teruk sebelum ianya memulih.

Dengan izin dalam Bahasa Inggeris, “make no mistake, the worst is yet to come and that we are not out of the woods yet”.

Jangan tersilap atau mengambil ringan. Ini adalah krisis ekonomi paling parah pernah negara dan dunia hadapi sejak 100 tahun lepas iaitu sejak 1920an yang dikenali sebagai ‘The Great Depression’.

Sebagai contoh, ekonomi negara jiran Singapura menjunam 41.2% pada suku kedua tahun 2020 berbanding suku sebelumnya yang juga turut menurun 10.6% manakala lebih 30 juta orang di Amerika Syarikat sudah kehilangan kerja.

Perlu disedari adalah lebih mudah untuk sesebuah perniagaan ditutup atau dimufliskan berbanding untuk membuka perniagaan yang baru atau mencari pelabur.

Sebab itu, kita perlu memberi tumpuan paling utama kepada usaha untuk menentukan perniagaan-perniagaan dan pekerjaan sedia ada yang kini dalam cemas supaya macam mana pun jangan sampai gulung tikar.

Pelbagai pertolongan dalam beberapa pakej prihatin sudah pun diumumkan kerajaan PN hari ini tetapi bantuan kerajaan tidak boleh terhenti dan sentiasa perlu diubahsuai mengikut keadaan.

Negara-negara lain turut melaksanakan pakej-pakej bantuan baru dari masa ke semasa kerana krisis Covid sangat serius. Kita tidak boleh main-main.

Kerajaan PN jangan mengambil ringan krisis Covid ini seperti Menteri Kewangan PH yang umum Malaysia bebas risiko kemelesetan ekonomi pada bulan Februari 2020 semasa wabak Covid mula mengancam.

Selaras dengan hakikat ini, maka saya ingin menyarankan supaya Bank Negara Malaysia dan bank-bank kita untuk mengkaji semula keputusan untuk tidak melanjutkan tempoh moratorium bagi peminjam.

Ini adalah kerana saya amat bimbang banyak syarikat dan peminjam bank tidak mampu membayar ansuran bulanan bila moratorium tamat sehingga terpaksa diisytiharkan muflis.
Kita perlu sedar bahawa sebab utama bank-bank mahu bayaran ansuran disambung semula ialah supaya mereka ingin pokok atau bayaran prinsipal pinjaman dibayar agar mereka ada dana untuk menyediakan pinjaman semula kepada pelanggan baru.

Sebaliknya, jika permintaan untuk pinjaman baru juga telah menjunam, maka tiada keperluan untuk bank memaksa pelanggan mereka membayar semula pokok atau prinsipal pinjaman.

Jika bank tidak mampu melanjutkan lagi moratorium untuk bayaran ansuran bagi kedua-dua pokok dan faedah pinjaman, pertimbangkanlah untuk memberi tempoh di mana peminjam cuma perlu bayar ansuran bulanan bagi bahagian faedah sahaja dan tidak melibatkan jumlah prinsipal.

Dalam hal ini, kerajaan perlu lebih bertegas dan tidak tunduk kepada kemahuan bank-bank sahaja.

Kerajaan dan tabung-tabung amanah berkait kerajaan adalah antara pemegang saham terbesar bank-bank di Malaysia manakala seluruh industri bank adalah bawah kawalan kerajaan.

Kita perlu faham, kerajaan memang ada kuasa yang besar ke atas bank-bank dalam Malaysia – baik dari segi pemilikan saham, suntikan dana kos rendah, garis panduan bank atau undang-undang yang berkaitan.

Sejak sekian lama bank mencatat keuntungan besar berbilion- bilion setiap tahun.

Sebagai contoh jika selama ini sebuah bank biasanya membuat keuntungan melebihi RM5billion, tetapi tahun ini hanya mendapat RM1bil-RM2bil sahaja, ianya tidak akan melumpuhkan sistem kewangan negara.

Inilah masa bank-bank perlu berkorban supaya pelanggan- pelanggan mereka tidak terjejas dan masih mampu untuk mengembalikan keuntungan berbilion-bilion kepada bank pada masa depan apabila krisis Covid berakhir.

Kita juga perlu menerima realiti bahawa semua bidang perniagaan tidak menerima impak sama rata dari krisis Covid.

Realitinya ialah sektor-sektor tertentu tidak akan pulih sepenuhnya seperti dahulu atau memerlukan masa beberapa tahun untuk pulih.

Bukan semua pekerjaan mampu atau boleh diselamatkan.

Pada masa krisis seperti ini di mana pelabur-pelabur swasta kurang yakin untuk melabur, peranan kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan menjadi jauh lebih penting.

Jika kita tidak boleh bergantung kepada negara-negara dagang kita untuk perdagangan antarabangsa dan pelancongan, kita perlu bergantung kepada diri kita…

… Kita jaga kita.

Inilah masa kerajaan memudahkan dan mempercepatkan lagi proses kelulusan untuk sebarang pelaburan atau perniagaan baru bagi pelabur-pelabur yang masih yakin.

Jika dulu kita perlu 10 syarat dipenuhi untuk sebuah pelaburan baru untuk dibenarkan bermula operasi, kita luluskan sahaja jika 5 atau 6 dari syarat yang diperlukan telah dipenuhi.

Dalam keadaan ini, kerajaan boleh memberi kelulusan bersyarat supaya pelaburan baru ini boleh bermula operasi secepat mungkin dan perniagaan itu diberikan masa untuk memenuhi baki syarat-syarat yang belum dipenuhi selepas beroperasi.

Keutamaan kerajaan ialah untuk memudahkan dan menggalakkan mereka memulakan operasi bagi menjana aktiviti ekonomi dan pekerjaan baru secepat mungkin.

Kerajaan juga disarankan untuk mempercepatkan projek-projek infra rakyat sedia ada seperti ECRL, MRT2, LRT3, Pengerang, RTS, lebuhraya CSR, Pan Borneo Highway dan sebagainya termasuk projek-projek skala kecil dan sederhana seperti projek pembinaan jambatan, masjid, jalan yang telah dihentikan oleh kerajaan PH dahulu.

Proses untuk menganugerahkan projek-prjek tersebut perlulah dipendekkan dan dipermudahkan.

Dengan mempercepatkan projek-projek ini, lebih banyak pekerjaan baru boleh diwujudkan untuk mengganti pekerjaan sektor lain yang sudah dan tentu akan hilang.

Dengan ini, kerajaan juga boleh mendapat manfaat dari kos harga bahan pembinaan lebih rendah ekoran harga komoditi yang lebih rendah.

Dan bagi sektor-sektor tertentu yang memerlukan masa yang lebih panjang untuk pulih seperti sektor perhotelan dan pelancongan, kerajaan bersama bank-bank boleh mewujudkan skim pinjaman mudah ala PTPTN untuk mereka membiayai sara diri semasa mengambil kursus-kursus yang akan menaikkan taraf kemahiran dan kemampuan mereka sementara menunggu sektor masing-masing pulih.

Pembayaran balik pinjaman ala-PTPTN ini boleh bermula selepas sektor mereka pulih dan mereka menyambung kerja.

Tuan Yang DiPertua,

Dari segi kewangan, kerajaan PN memerlukan ruang fiskal yang mencukupi untuk melaksanakan bantuan-bantuan demi menyelamatkan ekonomi kita dari krisis Covid.
Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 (Akta 637) dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275) tidak membenarkan

kerajaan untuk meminjam lagi apabila hutang negara melebihi had statutori nisbah hutang kepada KDNK pada 55%.

Hutang negara telah naik dari RM686.8b pada akhir 2017 semasa BN ke RM823.8b pada akhir suku-pertama 2020 manakala jaminan hutang kerajaan juga naik dari RM238b ke RM280.4b dalam tempoh yang sama.

Ini tidak termasuk lambakan aset-aset yang dijual dan dana Petronas yang dijarah.

Semasa saya menerajui kerajaan, kerajaan berjaya menurunkan defisit negara tiap-tiap tahun untuk 8 tahun berturut-turut.

Selain melaksanakan cukai GST, kita juga telah berjaya menurunkan kebergantungan negara kepada hasil minyak dari 44% ke 12.7% pada akhir 2017.

Tetapi bila kerajaan PH mengambil alih defisit negara telah meningkat pada tiap-tiap tahun, dan kebergantungan negara kepada hasil minyak juga meningkat kepada 33%.

Akibatnya, nisbah hutang kepada KDNK yang telah diturunkan oleh kerajaan BN dahulu ke 48.7% pada suku pertama 2018 sebelum PRU14, telah ‘U-Turn’ dan naik sehingga ke 54.4% pada akhir suku-pertama 2020.

Dalam 22 bulan semasa PH sahaja, nisbah hutang kepada KDNK negara telah dinaikkan hampir 6%.

Ini bermakna kita sudah hampir cecah had statutori 55% seperti yang saya sebut tadi.
Kerajaan PN cuma ada ruang sebanyak 0.6% dari KDNK untuk menghadapi cabaran paling besar Covid ini.

Seperti diumumkan Perdana Menteri PH YB Langkawi pada bulan Februari lalu, negara mempunyai kekayaan mencecah RM2 trilion – iaitu naik RM1.2 trilion dari RM800 bilion pada akhir tahun 2008 semasa saya mula memimpin negara.

Walaupun aset negara besar, tetapi tempoh Covid ini bukanlah masa yang sesuai untuk menjual aset-aset negara kerana harga rendah dari pasaran.

Sebab itu, saya ingin sarankan kerajaan untuk mengemukakan usul serta-merta untuk naikkan Had Statutori Hutang 55% kepada paras yang lebih tinggi.

Kerajaan PN perlu ada ruangan fiskal atau dengan izin ‘fiscal space’ yang lebih besar untuk melawan impak ekonomi Covid tanpa terpaksa menjual aset negara pada masa nilai-nilai aset rendah.

Tuan Yang DiPertua,

Saya berasa amat sedih dengan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia minggu lepas yang berkata bahawa nisbah Gini negara telah meningkat buat kali pertama sejak tahun 2004.

Pekali Gini adalah kaedah paling popular mengukur ketidaksamarataan pendapatan, yang mana nilai pekali Gini berada di antara 0 dan 1. Semakin kecil nilainya semakin saksama agihan pendapatan.

Ini bermakna jurang pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini melebar pada 2019 buat kali pertama sejak tahun 2014.

Sehingga kini, tidak ada seorang pemimpin PH berani mengulas tentang kadar kenaikan pendapatan isi rumah penengah golongan B40 cuma 1.8% setahun bagi tahun 2017, 2018 dan 2019.Iaitu jauh di bawah kadar kenaikan tahunan 6.6% bagi tahun 2015-2016 sewaktu BN berkuasa.

Tahun 2013 dan 2014 jauh lebih tinggi kadar kenaikan pendapatan golongan B40 adalah pada paras 19.1% kerana semasa itu BR1M telah mula dimulakan.

Adakah kumpulan ‘PH Plus’ fikir kadar kenaikan pendapatan tahunan 1.8% adalah cukup bagi golongan B40 untuk menghadapi kos sara hidup yang semakin naik?

Ini membuktikan bahawa dasar-dasar sewaktu kerajaan PH tidak membantu golongan B40 dan M40. Sebaliknya lebih memperkayakan golongan T20.

Kadar 1.8% untuk tahun 2017 hingga 2019 ini pun tidak memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di bawah PH kerana pada tahun 2017 ekonomi adalah mantap, jika angka semasa tahun 2017 dikeluarkan, saya pasti pendapatan golongan B40 bagi tahun 2018 dan 2019 adalah negatif.

Data rasmi Jabatan Perangkaan ini sebenarnya mengesahkan tahun 2018 dan 2019 di bawah PH adalah masa yang sangat sukar bagi golongan B40 dan ini adalah sebelum krisis Covid bermula.

Tuan Yang di-Pertua,

Benar-benar zaman ikat perut.

Dan pada zaman Covid ini, golongan B40 dan M40 juga adalah golongan yang akan menerima impak negatiif yang paling besar.
Mereka sudah menderita dua tahun semasa pemerintahan zaman ‘Rejim Gagalkrasi’ dan kerajaan PN tidak boleh membiarkan keadaan ini bertambah susah.

Sebab itu, saya harap kerajaan PN akan memberi keutamaan untuk memastikan kelangsungan golongan B40 dan M40 pada zaman krisis Covid ini.

Tuan Yang di-Pertua,

Dengan ini saya mohon menyokong.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker