UNDI TIDAK PERCAYA – PAKATAN HARAPAN KEMBALI SEBAGAI KERAJAAN?

MAJORITI TIPIS DIJANGKA HANGATKAN PARLIMEN

Ketika undian untuk menukar Speaker Dewan Rakyat, Perikatan Nasional (PN) hanya beroleh 111 menyokong manakala 109 tidak menyokong, 1 tidak hadir dan 1 berkecuali. Majoriti tipis yang memihak PN jelas menampakkan berlaku sesuatu dibelakang tabir yang masih dalam misteri.

Jumlah 2 undi yang dimenangi PN memberi gambaran kerapuhan berlaku dalam PN, bagaimanapun sokongan dari BN dan PAS tidak boleh disangkal memberikan kepercayaan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin untuk membawa usul menukar Speaker. Malah GBS dan GPS turut memberi sepenuh undian kepada Muhyiddin dalam hal berkaitan. Yang menjadi persoalan mengapa hanya kelebihan 2 undi? 

Ramai tertunggu usul Tun Mahathir yang dijangkakan akan memanaskan suasana Parlimen kelak. Usul ‘Undi Tidak Percaya’ oleh bekas PM Ke-7 terhadap PM Ke-8 merupakan cabaran terbesar buat PN bagi menentukan hala tuju negara menjelang PRU15.

Menurut KHAIRUDDIN ABU HASSAN dikenali sebagai ‘Totok Mahathir’, pihak mereka (PH) telah menerima beberapa panggilan telefon daripada beberapa Ahli Parlimen menyatakan sokongan buat Tun M untuk Usul beliau di parlimen. Bagaimanapun Khairuddin tidak menamakan siapakah kalangan Ahli Parlimen yang beliau dakwa akan menyokong Tun M.

Persoalannya mampukah Mahathir kembali sebagai PM sedangkan PH telah memutuskan Anwar Ibrahim adalah calon PM yang akan disokong mereka. Bagaimana Khairuddin boleh menyakinkan PH hanya Mahathir mampu mengembalikan apa yang didakwa sebagai ‘Mandat Rakyat’ ke Putrajaya sekaligus mengenepikan Anwar dari impian 22 tahun beliau? Mahathir sendiri telah memilih untuk menjadi blok pembangkang bebas dan tidak bersama Anwar Ibrahim, jadi bagaimana sokongan PH akan diperolehi bagi membolehkan beliau diangkat sebagai PM sekali lagi? Adakah Khairuddin mampu membuktikan sokongan PH kepada Mahathir untuk menyokong usul Undi Tidak Percaya terhadap Muhyiddin?

Dengan hanya 5 sokongan dari ‘BERSATU HITAM’, mungkinkah akan berlaku ribut dalam ‘BERSATU MERAH’ memprotes Muhyiddin sekaligus beralih sokongan kepada Mahathir? Berapa sokongan Ahli Parlimen ‘BERSATU MERAH’ yang boleh dijangkakan menyokong Mahathir kerana sebagaimana diketahui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini terbahagi kepada 2 puak – Pro Presiden dan Pro Mahathir dan masih belum dikenalpasti siapa sokong siapa. Inilah dilemma Presiden PPBM yang perlu diakui akan mendatangkan masalah sekiranya Usul Mahathir dibacakan dan dilakukan undian kelak.

Semua mata kini tertumpu kepada persidangan parlimen memerhati bolehkah Pakatan Harapan kembali memerintah selepas kejatuhan pada akhir Februari lepas. Jangan lupa PH seringkali mendakwa mereka mempunyai sokongan yang cukup bagi merampas kembali Putrajaya daripada PN dan pastinya sebelum berakhir sidang dewan sesuatu akan dilakukan mereka bagi membuktikan masih ada sokongan dalam parlimen. Antara Anwar dan Mahathir siapa akan menang kelak? Rakyat sudah bersedia kembalinya PH ke Putrajaya?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker