Aziz Harun rakam lagu dari rumah

KUALA LUMPUR: Enggan peminat melupakannya, penyanyi, Aziz Harun, 22, menghasilkan single terbaharu berjudul Chica yang bermaksud wanita dalam bahasa Sepanyol.

Aziz yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan di sebuah universiti di Norwich, England berkata, dia gemar mendengar lagu berunsur latin hingga terhasilnya Chica sejak berada jauh di perantauan, tahun lalu.

Jejaka berasal dari Brunei Darussalam itu berkata, dia menghantar demo lagu terbabit kepada Mike Chan dan Faizal untuk dinilai. Tanpa disangka, mereka menggemari lagu genre latin itu.

Dipendekkan cerita, rancangan untuk merakamkan lagu berkenaan, Mac lalu, tertangguh akibat penularan COVID-19.



Pulang bercuti di Brunei, Aziz merakamkan sendiri lagu Chica menggunakan peralatan rakaman di rumah.

“Bukan mudah melakukan sendiri proses rakaman. Mujur di rumah ada kelengkapan studio.

“Lazimnya, sepanjang proses menghasilkan lagu, saya dan penerbit lain berbincang sebelum memasuki studio rakaman.

“Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami hanya berbincang melalui panggilan video dan telefon.



“Ketika proses rakaman akhir, saya dan Faizal menggunakan aplikasi Facetime dari mula sehinggalah rakaman berakhir,” katanya.

Aziz berkata, biarpun jadualnya sibuk sejak menjadi pelajar sejak menuntut di United Kingdom (UK), dia tidak akan meninggalkan dunia muzik.

Akui Aziz, dia tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberi syarikat rakaman, Faithful Music kerana bukan mudah untuk membina nama di Malaysia.

Justeru, Aziz memastikan dirinya ada produk baharu demi kesinambungan dalam industri seni. Malah, Mike dan Faizal menggalakkan dia menggunakan peluang di rantau orang untuk mengutip ilham dalam berkarya.

Aziz yang pulang ke Brunei selepas diarahkan pulang berikutan jangkitan COVID-19 yang tinggi di UK, bercadang kembali ke universiti, September depan.

Biarpun institusi pengajiannya memberi kebenaran belajar dari rumah, Aziz mahu pulang ke UK kerana lebih suka menghadiri kelas fizikal.

Lagipun, katanya, dia dapat memberikan lebih tumpuan kepada pelajaran berbanding kelas atas talian.

“Tumpuan saya terjejas setiap kali menghadiri kelas atas talian kerana di rumah saya, ada ramai orang,” katanya penyanyi yang pernah memikat pendengar menerusi lagu Senyum, enam tahun lalu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker