AS mahu jalin pakatan lebih kukuh dengan ASEAN

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Konsep kepusatan ASEAN akan terus menjadi teras hubungan diplomatik Amerika Syarikat (AS)-ASEAN kerana negara itu ingin menjalin pakatan dan perkongsian lebih kukuh dengan negara di rantau ini, di bawah Strategi Bebas dan Terbuka Indo-Pasifik (FOIP).

Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan AS Reed Werner berkata konsep itu yang menekankan kemakmuran, kestabilan, kedamaian dan kedaulatan negara yang dikongsi bersama di Indo-Pasifik, menjadi panduan bagaimana AS melihat serta mendekati ASEAN.

“Konsep itu penting bagi kami dan bagaimana kami melihat wilayah itu dan menggariskan pendekatan menyeluruh terhadap Asia Tenggara. Pakatan dan rakan kongsi utama dalam strategi itu, termasuk perkongsian multilateral dengan ASEAN.

“Visi bebas dan terbuka kami berdasarkan prinsip kerjasama dan beberapa lagi prinsip lain. Ini juga petunjuk bagaimana kita mendekati isu Laut China Selatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.



Beliau berkata di bawah strategi itu, Jabatan Pertahanan (DoD) akan terus menumpukan kepada peningkatan pelaburan dan kerjasama pertahanan dengan ASEAN melalui pelbagai program, di samping latihan dua hala dan multilateral sedia ada.

“Daripada perspektif DoD, kami berusaha menjadikan visi strategik itu menjadi kenyataan berdasarkan tiga tonggak utama,” kata Werner.

Tiga tonggak itu, katanya, sebagai persiapan menghadapi krisis, memperkuat dan menggalakkan pakatan.

“Mungkin yang paling penting adalah pakatan dan perkongsian kami. Ia menjadi tema utama merangkumi Strategi Keselamatan Nasional, Strategi Pertahanan Nasional dan Strategi Indo-Pasifik,” katanya.



Beliau menambah walaupun pakatan di rantau ASEAN dengan Singapura dan Filipina sudah terjalin sekian lama, ada beberapa hubungan pertahanan wujud termasuk dengan Malaysia, Vietnam dan Indonesia.

Werner berkata AS berharap ASEAN akan memainkan peranan lebih penting dalam memajukan prinsip dan visi strategi bersama itu.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker