Tuan Ibrahim tinjau sistem pengawasan kualiti udara di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 19 Julai — Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini meninjau sistem pengawasan kualiti udara pada masa nyata yang ditempatkan di Pasir Gudang, dekat sini.

Menerusi laman rasmi Facebooknya, Tuan Ibrahim  berkata sistem berkenaan akan memberi amaran awal jika berlaku sebarang insiden pencemaran udara yang akan disalurkan kepada Jabatan Alam Sekitar secara automatik.

Stesen pengawasan pemantauan kualiti udara secara nyata di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang itu antara 25 lokasi yang ditempatkan sistem berkenaan.

Terdahulu, Tuan Ibrahim turut membuat tinjauan di stesen pemantauan udara dan kawasan sungai di mana berlakunya insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Mac tahun lepas.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Norlin Jaafar.

Tahun lepas, dua episod pencemaran berlaku di kawasan Pasir Gudang dalam tempoh berselang hanya tiga bulan iaitu pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada Mac, disusuli pencemaran udara pada Jun.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker