12 bulan penjara, 2 sebatan kerana menipu

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Padah menipu seorang penolong pengurus bank sehingga menyerahkan wang berjumlah RM175,494, seorang peniaga dalam talian dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Bala Subramaniam, 41, selepas dia menukar pengakuan bersalah semasa sebutan kes itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh bermula dari tarikh tangkap pada 30 Mac lepas.

Mengikut pertuduhan, Bala Subramaniam didakwa telah menipu Ooi Kai Hong, 49, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank, di Jalan Ampang, di sini, antara 11 Oktober 2017 dan 10 April 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, mangsa telah berkenalan dengan tertuduh melalui aplikasi media sosial ‘Blued’ (aplikasi gay) menggunakan nama Rayyan Azziq Paul dan seterusnya tertuduh meminjam wang daripada mangsa yang dimasukkan ke dalam akaun milik bapa tertuduh.

Selepas melakukan transaksi itu, mangsa cuba menghubungi tertuduh namun gagal dan akhirnya beliau berasa tertipu lalu membuat laporan polis.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker