9,000 anggota APM ditugaskan sepanjang PKP hingga kini

PORT DICKSON, 20 Julai — Seramai 9,000 kakitangan tetap dan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah ditugaskan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergarakan (PKP) sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata ia melibatkan penugasan sekatan jalan raya, pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dan penugasan melibatkan penghantaran dan pengangkutan.

“Penglibatan bukan sahaja sukarelawan biasa sahaja malah turut melibatkan sukarelawan daripada lantikan pegawai-pegawai kehormat bersekutu ini yang merupakan dari kalangan pensyarah, guru, ahli korporat, artis tempatan.



Mereka juga dilihat menunjukkan semangat yang tinggi sepanjang perkhidmatan, daripada kakitangan tetap mahupun sukarelawan…semua sama-sama berganding bahu untuk menangani COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Santai Bersama Media di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Norhafifi Ismail dan Pengarah APM Negeri Sembilan Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim.

Beliau juga berkata disamping itu APM juga turut terlibat dalam Op Benteng sejak PKPP dilaksanakan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan antara peranan yang dimainkan ialah mengangkut warga asing yang ditahan, dari perairan ke pantai dengan bot.

Terdahulu dalam ucapannya, Roslan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada media dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai APM.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button