COVID-19: Sikap ambil mudah masyarakat beri kesan kepada seluruh negara
KUALA LUMPUR, 20 Julai — Seluruh negara akan terkesan sekiranya masyarakat masih bersikap mengambil mudah dan sambil lewa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam seperti yang disarankan oleh kerajaan.
Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia berikutan orang ramai kini dilihat kurang memberi perhatian dalam mengamalkan pemakaian pelitup separuh muka dan penjarakan sosial kerana beranggapan trend wabak COVID-19 dalam negara telah menurun.
“Jadi mereka santai (relaks) dan tidak berbuat apa-apa. Sungguhpun di tempat awam, mereka perlu memakai pelitup separuh muka tapi nampaknya ada ramai yang tidak memakainya.
“Tetapi yang lebih serius, saya melihat penjarakan sosial yang semakin hari semakin tidak diendahkan. Dari satu meter sudah jadi setengah meter. Ia sangat serius dan kita tidak mahu COVID-19 kembali dengan gelombang kedua,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini menzahirkan kebimbangan beliau terhadap kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh kawalan itu.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak mengambil mudah dengan situasi COVID-19 di dalam negara ketika ini memandangkan kes positif wabak itu kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari lepas.
Sehubungan itu, Lee berkata perutusan itu adalah sesuatu yang wajar dan tepat pada masanya selain turut menasihatkan setiap rakyat Malaysia untuk terus bertanggungjawab, berdisiplin, serta mengadakan kawalan kendiri dalam memerangi pandemik COVID-19.
“Saya nampak ini situasi yang serius, saya harap masyarakat dapat mengambil berat seruan perdana menteri. Sebab kalau gelombang kedua muncul, saya rasa seluruh negara akan menderita,” katanya lagi.
Dalam perutusan sama, perdana menteri berkata kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam dan perincian mengenainya akan dimuktamadkan kelak.
Perkara itu disokong sepenuhnya oleh ahli epidemiologi dan anggota pasukan petugas COVID-19 Selangor Datuk Dr Christopher Lee yang mengatakan pemakaian pelitup separuh muka adalah antara tindakan penting bagi mengekang penularan wabak dalam masyarakat.
Beliau berpendapat, masyarakat kini kurang peka dengan pemakaian pelitup separuh muka ketika melawat ke tempat awam dan tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah mahupun premis makanan.
“Kami (kerajaan) harap semua rakyat boleh bekerjasama supaya kita tidak perlu kembali kepada tahap PKP dulu. Apa kita minta buat ini bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk menunjukkan keprihatinan kepada masyarakat di sekeliling kita,” katanya.
— BERNAMA