Kerajaan Selangor senada pusat, tiada kenaikan tarif air buat masa ini – MB

SHAH ALAM, 21 Julai — Kerajaan negeri Selangor tidak bercadang menaikkan tarif air buat masa ini, ketika rakyat sedang terkesan oleh penularan pandemik COVID-19, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, bagaimanapun isu tarif air itu perlu dibincangkan apabila tiba masanya.

“Kita memang tiada hasrat untuk naikkan tarif air ketika penularan wabak berkenaan. Namun, kelestarian pengurusan air harus dibincangkan dan ia melibatkan semua negeri, bukan Selangor sahaja.

“… kerana apabila perkhidmatan (industri air) tidak dapat disalurkan dengan baik, akhirnya ia akan membebankan pengguna. Jadi kena rasional, bukan mahu ‘gain political mileage’. Saya bukan nak naikkan tarif air, tapi kita ada perancangan bila masanya,” katanya selepas melancarkan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya perkembangan terkini cadangan semakan semula tarif air di negeri-negeri termasuk Selangor yang mula dibangkitkan ketika kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan.

Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, kerajaan persekutuan di bawah Perikatan Nasional memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat terbeban dengan keadaan ekonomi dan situasi pandemik COVID-19 yang belum berakhir.

Sementara itu, mengenai perlakuan vandalisme membabitkan mural pemimpin dan “wira negara” semalam, beliau mengusulkan agar artis yang berkenaan mencari lokasi lain yang lebih sesuai jika mereka berhasrat untuk berkarya semula.

Dalam kejadian itu, mural potret pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dicemarkan menggunakan semburan cat merah.

Turut menjadi mangsa potret Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

— BERNAMA

Leave a Reply