Thailand berharap dapat hasilkan vaksin COVID-19

BANGKOK, 21 Julai — Saintis di seluruh dunia kini berlumba-lumba menghasilkan vaksin COVID-19, Thailand juga tidak ketinggalan bagi membangunkan vaksin yang mampu milik dan mudah diperolehi untuk melindungi rakyat negara itu.

Antara pertubuhan dan universiti yang menghasilkan vaksin ialah Pusat Kejuruteraan Genetik dan Bioteknologi (BIOTEC) Thailand di bawah Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Nasional.

Ketua penyelidik program pembangunan vaksin COVID-19 di BIOTEC, Dr Anan Jongkaewwattana, berkata seramai 22 orang dari Pasukan Penyelidikan Virologi dan Teknologi Sel BIOTEC dan Kumpulan Penyelidikan Inovasi dan Pengurusan Kesihatan Veterinar mula membangunkan lima vaksin cubaan (vaksin yang sudah dihasilkan dan masih dalam percubaan) selama lebih kurang enam bulan.

Pengarah Kumpulan Pengurusan Inovasi Kesihatan Veterinar berkata dua jenis – vaksin berasaskan virus Influenza-A dan vaksin berasaskan protein rekombinan – telah berjaya diuji pada tikus, dan menunjukkan tindak balas positif.

“Kami akan memulakan ujian pada hamster, untuk mencari tindak balas positif lain bagi memungkinkan ujian klinikal pada manusia dijalankan hujung tahun ini atau awal Januari depan,” katanya kepada Bernama.

Dr Anan berkata pasukan penyelidikan BIOTEC membangunkan lima jenis vaksin kerana “kami tidak pasti mana satu yang terbaik dan paling berjaya.”

“Kami berharap satu daripada vaksin itu akan dapat diuji kepada manusia di Thailand,” katanya.

Dr Anan menambah pasukan penyelidik komited menghasilkan vaksin yang efektif dan berpatutan, harga di bawah 1,000 baht (RM134) setiap dos.

“Kita boleh hasilkan yang lebih murah,” katanya.

Selain BIOTEC, pertubuhan awam dan swasta yang turut membangunkan vaksin COVID-19 termasuk Universiti Chulalongkorn Bangkok dan Universiti Mahidol.

Dr Anan berharap Thailand akan berjaya dalam usahanya untuk menghasilkan vaksin COVID-19.

“Sebagai saintis, data kami menunjukkan hasil yang memberangsangkan (untuk vaksin COVID-19), setidaknya untuk diuji pada haiwan.

“Saya rasa vaksin COVID-19 yang dibangunkan saintis Thailand akan berjaya. Kami berharap satu daripada vaksin itu akan dapat digunakan rakyat Thailand. Kita tidak boleh hanya menunggu vaksin dari luar negara. Ia akan mengambil masa lebih lama untuk diperoleh penduduk di negara ini,” katanya.

Sementara itu, pasukan penyelidik Universiti Chulalongkorn merancang untuk menjalankan ujian klinikal ke atas manusia pada November selepas vaksin mRNAnya menunjukkan hasil memuaskan.

Ketua penyelidik di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan Vaksin Universiti Chulalongkorn, Prof Dr Kiat Ruxrungtham, berkata Thailand dijangka memperoleh vaksinnya sendiri menjelang separuh kedua 2021, andai ujian klinikal berjaya.

BioNet-Asia, sebuah syarikat bioteknologi persendirian Thailand-Perancis, menyediakan kemudahan untuk 10,000 dos vaksin sekiranya ujian terbukti berjaya.

Setakat ini, tiada vaksin yang sesuai untuk COVID-19 tetapi terdapat 163 vaksin yang sedang dikaji di seluruh dunia dan 23 vaksin cubaan kini di peringkat penilaian klinikal sementara 140 lagi di bawah kategori praklinikal, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker