Pendakwaan perlu buktikan Najib salahguna kedudukan – Peguam

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Pendakwaan perlu membuktikan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan perlindungan berhubung dakwaan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata bagi memenuhi elemen penyalahgunaan kedudukan, pendakwaan mesti menunjukkan bekas perdana menteri itu mempunyai kuasa ke atas Ketua Audit Negara (KAN) Tan Sri Ambrin Buang yang menyediakan dan memuktamad laporan akhir itu atau KAN diberi tekanan atau diugut untuk sebarang keputusan berhubung laporan yang disediakannya.

“Pada awalnya, kami mengemukakan KAN bertindak berdasarkan kuasa yang diberikan kepadanya oleh Perkara 106 Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 7 Akta Audit 1957 secara tegas memperuntukkan KAN melaksanakan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan.



“Berdasarkan keterangan oleh bekas KAN, Ambrin; bekas pengarah Jabatan Audit Negara (JAN), Saadatul Nafisah Bashir dan pegawai JAN, Datuk Nor Salwani Muhammad, adalah jelas Ambrin telah menggunakan kuasa prerogatifnya sebagai KAN dalam melaksanakan pindaan sebelum laporan akhir 1MDB dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)

“Kami juga mengemukakan Ambrin telah menggunakan kuasanya secara bebas daripada sebarang arahan yang didakwa daripada perdana menteri dan Menteri Kewangan,” katanya sambil menambah tuduhan terhadap Najib adalah bersifat menindas.

Najib mengemukakan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya membabitkan pendakwaan meminda laporan akhir pengauditan 1MDB bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Muhammad Shafee berkata penyalahgunaan frasa ‘muktamad pada awal pertuduhan dan kemudian ‘muktamadkan semula’ pada pindaan tuduhan terhadap anak guamnya membawa kesan mengelirukan pembelaan.



Oleh itu, pihak pembelaan mengemukakan bahawa walaupun semasa membaca pertuduhan itu, tidak ada arah yang jelas tentang bagaimana sesuatu yang sudah muktamad dan namum belum dimuktamadkan lagi, katanya.

“Atas alasan tersebut, kami berdoa mahkamah ini akan menggunakan bidang kuasa yang sedia ada untuk menolak atau membatalkan pertuduhan terhadap anak guam saya dan mengarahkan Datuk Seri Najib dilepas dan dibebaskan.

“Sebagai pilihan, kami berdoa perintah dilepas tanpa dibebaskan atas alasan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib tidak berasas,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bahawa permohonan Najib untuk membatalkan tuduhan itu perlu ditolak kerana pendakwaan masih di peringkat awal mengemukakan keterangan.



Beliau berkata adalah terlalu awal untuk mahkamah membuat kesimpulan bahawa pertuduhan itu adalah penyalahgunaan proses.

Sri Ram berkata setakat ini hanya tujuh saksi pendakwaan yang memberi keterangan dan pihak pendakwaan belum memanggil saksi lain dan mengemukakan bukti untuk menunjukkan dakwaan mendapatkan perlindungan yang dilakukan oleh bekas perdana menteri itu.

“Najib perlu membuktikan tuduhan terhadapnya adalah satu penindasan,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Zaini Mazlan menetapkan 7 Ogos ini untuk keputusan.



Pada 12 Disember 2018, Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukanya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button